12

Sebelum
Aku keluarkan sekeping hatiku dari tempat letaknya, aku belek dan aku perhatikan bahagian mana yang hendak dibawa berjuang.
Aku potong bahagian yang sarat terluka dan aku masukkan ke dalam kotak putih, aku ikat dengan reben merah. Agar lukanya terawat seketika.
Aku potong bahagian yang menanggung beban dan aku letakkan dalam kotak lutsinar agar ia reda sepanjang aku tiada.
Aku potong lagi bahagian yang sedang menahan tekanan dan aku letak dalam gelas kaca agar ia berkesempatan menyedut udara.
Bahagian yang sarat dengan cinta aku tinggalkan juga dalam kotak merah jambu kegemaran menunggu saat dihantar pada tuan yang layak memilikinya. Agar semua bahagian-bahagian itu tidak mengganggu aku berlari kencang dan melompat tinggi menggapai bintang.
Yang tinggal hanya bahagian yang tidak pernah jemu kecundang. Itu yang aku bawa untuk berjuang mati-matian.

Semasa
Bukan mudah hendak terbang tinggi dilangit biru
Bukan mudah mengharung ombak lautan dalam
Bukan mudah membuktikan cinta itu setia


Selepas
Setelah segalanya reda dan kembali tenang. Berjaya mempertahankan cinta yang dijulang. Mengembalikan kepercayaan seorang papa dan seorang abang yang tidak pernah jemu memberi peluang. Namun, pulang tanpa satu pun untuk dijadikan kenangan…sedikit terkilan
..ketika aku sedang menangisi sebuah cinta yang terhalang..
..ketika aku sedang sarat tidak tertanggung perasaan..
..ketika aku sedang cuba untuk diam, memendam kepahitan..
..kamu datang menambahkan kelukaan memeritkan penderitan..
..dengan tuduhan tanpa sandaran, sedangkan ceritaku bukan tentang persembahan..
..tapi tentang aku dia dan lagu...

..aku sudah bosan menuntutnya disini, kita jumpa disana nanti..
Semalam, entah bagaimana kudrat Tuhan menjodohkan pertemuan aku dengan sebuah blog, yang terkandung di dalamnya, cerita tentang aku. Selesai membaca, aku teringin benar meninggalkan komen, tapi disebabkan ketika itu aku sedang berada dalam emosi yang terganggu, lantas, aku biarkan sahaja terlebih dahulu…lebih baik aku cerna dan hadam apa yang ditulis dengan hati yang tenang. Lumrahnya sebagai seorang manusia aku sangat terkilan dengn coretan itu. Ingin benar aku balas apa yang diperkatakan…tapi, selesai mandi aku sudah lupa apa yang hendak aku hamburkan sebentar tadi..

Pernah suatu ketika, seorang teman meluahkan ayat menyakitkan hati aku. Penuh bongkak dan keangkuhan menyebabkan kemarahan meledak. Terus aku tinggalkan dia dan pulang ke bilik. Dalam bilik, aku duduk dan berfikir, ingin benar aku hendak meluahkan kemarahan sepuas-puasnya. Lantas mesej dihantar mengatur pertemuan. Sayangnya, dihujung pertemuan, aku pula yang memujuk.

Aku sangat tidak suka dimarahi dihadapan orang lain. Bukan aku sahaja begitu, orang lain pun aku kira tidak suka dimarahi. Ketika seorang kawan memperlakukan aku sedemikian di sebuah restoran makanan ringan, aku rasa jauh hati malah terkilan. Kononnya, aku ingin merajuk. Bukan merajuk minta dipujuk, sekadar cuba protes akan tindakannya… tapi, segalanya tiada makna, malamnya aku sudah terlupa, kami ke pantai bersama.


Aku juga punya seorang kawan yang agak baran. Selalu menyakitkan hati. Apa yang ada pada aku, selalu tidak kena. Senyum salah, menangis pun salah. Tapi, bila dia tiada untuk memarahi dan menyakiti, aku jadi rindu…

Pernah sekali, aku marah pada seorang adik yang degil. Nasihat tidak diendahkannya. Rasa terkilan juga. Tapi, beberapa jam selepas itu, aku sudah duduk semeja bersembang dengannya macam biasa…

Ketika mesej tidak berbalas, aku rasa terkilan. Bukan bertanya soalan suka-suka atau sekadar memenuhkan inbox bertanya khabar. Aku perlukan jawapan segera. Tapi, berkali-kali mesej dihantar, tidak berbalas jua. Selalu, bukan sekali dua. Hmm..biarlah, lupakan saja.

Bukan aku tidak pernah ada rasa marah, bukan aku tidak tahu untuk merajuk. Aku juga punya sekeping hati yang akan terkilan bila disakiti, terluka bila dikasari… Cuma aku selalu terlupa, semalam marah, hari ini dah kebah. Siang tadi merajuk, hilangnya tak perlu dipujuk. Aku selalu terlupa…


Soalan aku, adakah bila aku selalu terlupa, perasaanku tidak perlu dihargai, jiwaku tidak perlu diambil peduli.
Kalau pun jawapannya ya dari kamu semua, tak mengapa, mungkin hari ini aku terasa, malam nanti aku sudah terlupa…

aku hendak belajar untuk merajuk seketika, kerana aku rasa, adakalanya rajuk dan marah itu perlu...

Imtinan sedikit kebah. Nafasnya kembali ada untuk melayari internet walaupun aku sedikit jenuh dengan ‘chipsmore’nya yang sering mengganggu. Sepatutnya aku mencari maklumat dan menyiapkan kerja yang diarahkan oleh sifu, tapi entah bagaimana jari dan mataku menjalar ke tempat lain. Satu persatu blog rakan-rakan aku terokai, dari yang akrab hinggalah kenalan biasa.

Membaca setiap tulisan itu bagaikan membedah irama hati mereka. Dan terpamer segala rasa yang tersimpan kerana tidak punya ruang untuk meluahkan pada insan. Maka dalam rentak tulisan itulah tercurah segalanya.

Hidup ini terlalu pantas untuk dikejar. Semalam dan hari ini tidak akan pernah sama. Mungkin ada sesuatu yang sangat kita sukai semalam, akan hilang pada hari ini. Dan apa yang kita cintai hari ini akan pergi hari esok. Apakah tidak boleh untuk kita miliki apa yang sangat kita cintai? Hakikatnya, pernahkah kita punya hak untuk memiliki sejak semalam, hari ini, esok dan selamanya…

Aku, kamu, kita dan mereka juga sudah jauh berbeza. Tiada lagi istimewa, jauh sekali cinta. Malangnya kita tidak pernah tahu sejak bila perbezaan ini bermula. Adakah kita sudah jemu untuk bersama? Atau kita sudah benci untuk berkongsi rasa? Atau sebenarnya memang kita ini manusia yang akan membuang sepah setelah manisnya tidak terasa.

Aku rindu saat semuanya itu, sebelum nanti aku pergi jauh dari sini. Saat sunyi dan sendiri akan mencipta ruang untuk aku tenggelam dalam kenangan yang kita cipta bersama. Indahnya senda gurau kita yang membuahkan gelak ketawa. Bahasa mata yang tidak perlu kepada kata-kata. Cerita dan panglipulara dalam becok mulut kita berbicara, terus dan terus…kita kongsi segala. Sesudu disuap bersama, satu dibahagi dua. Gelak kita senada, tawa kita seirama. Selalu tercipta dunia yang hanya ada kita dan kita.

Bukan sekadar saat suka, kita juga selalu bersama manyapu air mata. Sering kita jatuh tersungkur, menangis namun kembali bangkit dan berlari walau menahan kesakitan. Kita basuh darah-darah luka yang mengalir dan kembali senyum dalam kelukaan. Namun, mengalah bukan kita. Pernah juga kita merana kesakitan dalam diam namun mata kita tidak mungkin berjaya menyembunyikan kenyataan. Dan kita sampaikan kefahaman itu tanpa ungkapan.

Mengapa kita letakkan noktahnya sebelum saat itu tiba. Apakah benar kita sudah tekad untuk beralih cinta, mengubah dunia, mencari hala berbeza…sedangkan kita masih punya masa untuk mengutip bahagia bersama. Tiadakah pertimbangan dengan akal yang rasional dan hati yang cekal. Jika begitulah pilihan, mudahnya kita lupa.

Biar apa pun ceritanya hari ini, terima kasih teman atas semalam yang engkau beri...


Atas Nama Cinta -UNIC

Tika mata diuji manisnya senyuman
terpamit rasa menyubur harapan

Dan seketika terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan

Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan

Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba menghindarkan pesona maya

Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka

Diatas nama cinta pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redha-Nya

Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa

Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai nikmat-Nya
Syurga-Nya....Cinta-Nya


:Jangan bertanya selagi belum tiba masanya: