Ini keluhan atau luahan....

Sejak pertama kali berniat dan berazam menjadi seorang pendidik, saya mengerti bahawa tugas itu tidak semudah namanya. Beban dan tanggungjawabnya hanya difahami oleh mereka dari golongan yang sama. Amanah yang berat, cabaran yang besar. Selalu malah saya sudah hadam sangat pesanan agar seorang cikgu jangan hanya mengajar tulis baca, tapi didiklah anak murid mengenal dunia, merintis jalan meniti kehidupan, ajarkan perbuatan, lenturkan pemikiran, didikkan perasaan dan tiupkan perjuangan menjadi makhluk bernama insan.

Saya tahu itu sukar..sukar tidak tergambar.

Lebih sukar bila bergelar guru zaman ini. Zaman yang sudah terlalu jauh dari asas membentuk ketamadunan iaitu moral. Zaman yang serba material. Zaman manusia bangga menimbulkan persoalan tanpa jawapan. Zaman berpusatkan sendiri, zaman nafsi-nafsi. Zaman serba senang serba lantang. Zaman mengaku bangun tapi lena dalam kebodohan, kerakusan, ketamakan. Zaman manusia semakin lupa hidup bertuhan. Zaman logic mengatasi iman. Zaman wahan.

Perbuatan kurang ajar sudah menjadi perkara biasa-biasa. Dulu guru diletak tinggi darjatnya, kini guru jangan berani lebih daripada biasa. Sedikit guru bertindak, seluruh negara mencaci mencerca. Sedangkan yang mencaci cerca itu tidak tahu rotan bukan lagi ketakutan kepada pelajar, gantung sekolah adalah cuti yang dinanti, buang sekolah adalah alasan yang ditunggu untuk tidak lagi ke sekolah, apa lagi senjata yang hendak digunakan untuk mendidik pelajar? Bila guru lepas tangan, masuk kelas hanya menghabiskan sukatan, lalu guru dilabel makan gaji buta.

Serba salah..tersepit antara amanah, usaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan persekitaran mental yang sangat parah.