Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Membawa sepemeluk penuh rahmat dan kasih sayang Allah yang akan melimpah ke atas hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan ibadah dan amal jariah. Ramadhan bulan rahmat dan berkat yang Allah jadikan buat hamba-hambanya. Inilah bulan ibadah. Setiap amalan ibadah yang dikerjakan pada bulan ini akan dibalas berlipat kali ganda. Pahala mengerjakan amalan sunat seperti mengerjakan amalan wajib. Pintu-pintu neraka ditutup, pintu-pintu syurga dibuka luas. Disyariatkan amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita seperti mana diwajibkan ke atas golongan terdahulu, dengan tujuan agar kita bertakwa kepada Allah swt. Disunatkan solat terawikh pada malam harinya agar bertambah ganjaran pahala, yang mana solat sunat terawikh tidak akan terdapat dalam bulan-bulan yang lain.

Buat kita seorang hamba…

Ramadan seharusnya menjadi ruang taubat menghapuskan dosa. Berjihad melawan nafsu, bukan sekadar nafsu makan dan minum sahaja. Malah nafsu amarah, pemalas, ego, bongkak dan sebagainya. Didiklah hati yang telah dikotori sebelas bulan sebelumnya agar kembali putih dijalan yang Esa. Kerjakanlah amalan sunat buat bekal ke akhirat. Tadabburlah kitab suci buat bekalan mati. hulurkanlah sedekah buat penambah ibadah. Ramadhan satu-satunya bulan yang punya kerahmatan luar biasa. Jangan bertangguh lagi, Ramadhan akan datang belum tentu lagi kita masih dapat menikmati.

Tapi sayangnya…

erti Ramadhan sudah ditafsir dengan skema pelbagai. Ramadhan menjadi bulan alasan mengurangkan produktiviti dek keletihan tidak bertenaga. Ramadhan yang sepatutnya bulan kerehatan untuk sistem penghadaman dikerah bekerja lebih keras daripada biasa bila diisi dengan banyak dan pelbagai menu berbuka. Kekenyangan dan rasa mengantuk melenyapkan kekuatan untuk berdiri lapan rakaat dengan alasan ia cuma amalan sunat. Memang tidak berdosa meninggalkannya, kerana ia amalan orang-orang yang mengharapkan taqwa, tapi apa makna ramadhan tanpanya. Waktu-waktu senggang untuk tadabbur quran disibukkan dengan membuat biskut dan kuih raya berbalang-balang.

Tidak salah…

berbelanja di bazaar tapi janganlah sampai menggantikan syaitan yang sedang dirantai. Tidak mengapa menyibukkan diri menjahit langsir dan baju raya, memenuhkan bekas kuih dan balang kaca asalkan ia tidak mencemarkan barakah Ramadhan yang Allah kirimkan. Asalkan tidak melenyapkan maksud dan intipati sebenar Ramadhan itu Allah ciptakan untuk kita, hambaNya. Jangan ramadhan ini hanya bermaksud berlapar dahaga di siang hari sementara menunggu masa mencekik di malamnya nanti.

..dan aku

Menitipkan pesanan ini khas buat diriku sendiri yang masih ralat di hati kerana gagal meraikan awal Ramadhan ini seperti yang Nabi kehendaki. Semoga dikurniakan kekuatan mengutip barakah-barakah Ramadhan sementara ia masih lagi belum pergi… “andai ini ramadhan terakhir buatku, kuharap ia kan menjadi pembelaku di akhirat nanti”

3 kata kamu:

Anonymous said...

itu Ramadhan kamu....

Ramadhan saya macam tak bererti.

Ramadhan saya lebih teruk dari Ramadhan sebelum ini.

Ramadhan saya tinggal Ramadhan....

Anonymous said...

Ramadhan kamu penuh makna.

Ramadhan saya angan-angan semata.

i felt worse than before....
even i cant focus on my ibadah....

~~~QaW...47~~~~

Zakia Setu said...

dear anonymous,
masih sempat lagi untuk mengutip barakah dan kemuliaan ramadhan...
dont give up!!!!!!!