Alhamdulillah, sebenarnya banyak rasa yang bertakung dihati, cuma keinginan untuk mencoret tidak membara menjadikan takungan hati itu akhirnya pudar oleh masa. Pagi ini, seusai menikmati bekalan air tangan suami, saya seperti mahu mencoret tentang hidup yang kini semakin mudah.

Hidup sentiasa berteman, susah yang sentiasa ada penyelesaian. Kerisauan ada, tapi masih boleh dilipat kemas-kemas agar tidak serabut serabai dalam hati. Itu kemudahan yang boleh dilihat mata zahir.

Kemudahan yang tidak terpandang dengan mata fizikal adalah kasih sayang dari Tuhan. Betapa Dia memudahkan seorang wanita menambah amal ibadahnya, mencari jalan takwa, menikmati kalimah redha. Mudah asalkan didasari dengan rasa sabar dan ikhlas keranaNya.

Bangkit seawal-awal pagi, melawan kantuk mata menekan suis seterika, kalau dilakukan seikhlasnya, menggosok baju suami tercinta membuahkan pahala yang pertama. Senyum, salam, peluk dan cium jika ikhlas mengalirkan cinta dalam lambaian selamat pergi bekerja adalah habuan pahala yang seterusnya.

Petang hari kepenatan, mengangkat anak lesung pun seperti berhempas pulas. Sedaya tenaga ingin menyediakan santapan malam yang menyelerakan buat suami tercinta. Jika perencahnya adalah sabar, digoreng sebati dengan cinta, kasih sayang dan keikhlasan, bukan sekadar juadah didunia tapi berpanjangan hingga ke syurga.

Hujung minggu sihat dengan riadah rumah tangga, mencuci baju, mengemas rumah seadanya. Rutin mudah yang tidak perlukan cabaran minda. Buat dengan tekun dan sabar, ganjaranya pahala dari yang Esa.

Dilidah ia mudah untuk dimadah, beban dan kepenatan menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan, kesabaran yang kurang akan menukarkan segala amal ibadah itu menjadi dosa keingkaran.

Buat wanita yang telah lama bergelar isteri, beruntunglah dan bersyukurlah. Buat wanita yang belum bergelar isteri, percepatkanlah menuruti sunnah. Dan buat para wanita yang baru bergelar isteri seperti aku, memang memakan masa untuk mengadaptasi segala. Jika dulu, rutin-rutin itu hanya bila perlu, sekarang ia sentiasa perlu. Apa yang anda perlu lakukan, didik hati agar menjadi lebih ikhlas dan sabar, selepas itu hidup akan jadi lebih mudah, tenang dan bahagia. Memang memakan masa, tapi percayalah dihujungnya nanti ada cinta, ada redha, ada bahagia.

Wallahualam.
Sudah lama saya tidak mencoret kata disini. Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsi. Tentang Ramadhan yang telah pergi, tentang sambutan aidilfitri yang pertama bersama suami, tentang ukhwah yang retak oleh lidah, tentang hidup yang indah oleh cinta, tentang harapan, tentang angan-angan, tentang impian dan perancangan, tentang kerja dan sekolah.. tentang semua.

Biar pun cerita itu semua hanya biasa-biasa sahaja. Tapi saya tidak mahu berhenti mencoretnya disini. Sedaya mungkin saya ingin menitip saat-saat manis mahu pun getir diruang maya ini. Semuanya demi menghargai setiap detik waktu yang berlaku dalam hidup saya. Buat kenangan, memori dihari tua. :)