Melodi gundah selalu menggerakkan jemari menarikan rasa hati
Cerita dan perjalanan hidup mencari Tuhan akan pasti menemukan kita dengan hamparan ujian. Kalau derita tahulah dipujuk hati agar bersabar. Tapi kalau ujian itu seperti hadiah, mungkin kerap kali hati lupa bahawa hadiah itu juga ujian dari Allah.
Hadiah dan si pemberi hadiah, mengingatkan aku pada sebuah buku karangan Ustaz Pahroi Juoi bertajuk Tentang Cinta. Aku paling suka pada analogi beliau yang satu ini. Kita, di saat mendapat hadiah, pasti akan gembira, tidak sabar untuk membuka balutan indah kotak hadiah yang di terima. Kadang-kala hingga terlupa mengucapkan penghargaan kepada si pemberi hadiah. Lebih-lebih lagi mendapat hadiah ketika hari istimewa seperti ulang tahun kelahiran, selepas kejayaan dan sebagainya.
Tapi, bila direnung kembali, hadiah bukan diberi semata-mata untuk menghargai hadiah itu sendiri, tapi hadiah adalah simbolik ingatan si pemberi hadiah tentang sesuatu yang istimewa tentang diri kita. Tanda dia ingat pada hari lahir kita, tanda dia peka akan kejayaan kita dan berkongsi rasa gembira itu. Maka sewajarnya, yang mana harus lebih dihargai? Hadiah atau si pemberi hadiah? Mungkin ada yang akan menghargai hadiah tanda penghargaan kepada si pemberi hadiah atau ada yang menghargai si pemberi hadiah kerana mengerti hadiah adalah manifestasi rasa si pemberinya. Yalah, mana ada kita memberi hadiah sesuka hati kepada sesiapa sahaja tanpa mengenali siapa dirinya. Hanya orang tertentu sahaja akan memberi hadiah kepada kita dan hanya orang tertentu akan mendapat hadiah dari kita. Bukan semua.
Tapi sayangnya, disaat mendapat hadiah dari Tuhan, kita amat gembira menerimanya sehingga kita lupa kepada Si Pemberi hadiah. Jika kita memberikan hadiah tanda ingatan, Allah memberikan nikmat agar kita ingat padaNya. Sekiranya kita ingat dan bersyukur maka akan bertambah nikmat dariNya, jika kita lupa dan kufur, sungguh itu tidak akan mengurangi perbendaharaaNya yang Maha Kaya.

“Jka kamu bersyukur, maka Aku akan menambahkan (nikmat) itu kepada kamu dan jika kamu engkar (akan nikmat) maka sesungguhnya siksaan-Ku amat keras” Ibrahim:7

Tapi sayang, selalunya hadiah itu kita jaga, tapi si pemberinya kita lupa...Mohon ya Allah Maha Pemurah, rinduku pada hadiah yang Kau berikan, menguatkan rinduku kepadaMu yaTuhan.


Tatkala kebosanan menghadap buku dan cuba meghadam kandungannya, hati ini dilanda resah yang datang tiba-tiba. Mungkin sebab ilmu kaji tumbuhan ini agak sukar dicerna. Lantas buku-buku itu ku tutup dan tangan segera menekan punat ‘On’ pada laptop tersayang.
Satu persatu laman web dibuka mencari pengisian untuk menyegarkan hati yang gundah ini. Seperti biasa, Saifulislam.Com dan Minda Mufti, laman web Dr M. Asri menjadi tempat persinggahan mata. Segala isi kandungannya dibaca agar dapat memberi tazkirah pada hati nan gundah.
Namun hati masih juga terasa gelisahnya. Lantas aku hentikan pembacaan. Menghela nafas panjang, duduk bersandar dan cuba menenangkan hati. Mungkin ada sesuatu yang perlu difikirkan. Satu-satu apa yang berlaku di hari-hari kebelakangan ini menerjah ruang ingatan. Kitar hidup di minggu peperiksaan ini sama sahaja setiap hari. Membaca dan membaca nota-nota yang dikumpul sepanjang semester untuk dihadam habis-habisan sebelum dimuntahkan di atas kertas peperiksaan. Cuaca yang agak panas juga menghalang niat ku untuk keluar kemana-mana. Waima ke café pun aku terpaksa kalau tidak dek perut yang lapar. Bukan itu semua yang datang membawa gundah dijiwa saat ini.
“Erti hidup pada memberi”, itu yang selalu ku baca dalam tulisan AbuSaif. Mungkin itu yang gersang di hari-hari kebelakangan ini. Budaya nafsi-nafsi yang mengundang gundah di hati. Tiada kesempatan untuk “memberi” dek kesibukan peperiksaan setiap mahasiswa universiti dalam taman ini. Sedikit-sedikit jawapan pada gundah hati ini, terjawab sendiri. Maka, kalau begitu, mungkin ziarah boleh menjadi penawarnya.
Erti hidup pada memberi, maka kuranglah erti hidup jika kurang memberi. Memberi bukan sekadar pada material semata. Tapi memberi biar dengan hati. Berkongsi nikmat hidup dan kebahagian yang ada. Pemberian yang telah diamanahkan adalah ilmu yang ada dalam jiwa. Biar ilmu sungguh cetek, tapi berikanlah jua pada sesiapa untuk dikongsi bersama. Ilmu paling mulia adalah yang bisa membawa manusia kembali pada Tuhannya. Maka, agar hidup ini bereti, memberilah, dan untuk memberi, perlu ada sesuatu yang hendak diberi, jadi carilah. Sedikit ketenangan menjalar dalam hati selepas muhasabah ini.
Separuh gelisah yang berbaki, kufikirkan nikmat dari Tuhan yang terlalu banyak. Adakah hati ini sudah bersyukur atau hati ini masih lagi kufur. Nau’zubillahhiminzalik. Ada sesuatu yang aku perlu nasihatkan pada hati, dan ingatkan pada diri. Bersyukurlah pada nikmat yang ada selagi Allah masih meminjamkannya padaku. Bersedialah untuk kehilangan nikmat-nikmat itu tatkala tiba saat dan waktu. Pagi ini Allah dekatkan lagi nikmatNya padaku. Tidak pasti berapa lama akan menjadi nikmat dari Tuhan. Atau sekadar persinggahan untuk ditukarkan kepada ujian bagi menguji kesabaran. Saat kehilangan nikmat itu pasti akan tiba, pasti! Cuma entah tidak tahu bila. Disaat akal ini masih lagi sihat, jiwa ini masih lagi beringat, semakin dekat nikmat itu datang semakin aku membina kekuatan menanti hari kehilangan. Agar aku masih boleh tersenyum walau dalam tangisan dan masih lagi bersyukur walau dalam ujian.
Dihujung tarian jemari, gundah ini hilang…subhanAllah!
Biar rindu ini mekar…

Pada saat kesunyian kita selalu kembali dalam kenangan. Sewaktu keseorangan kita sering tenggelam dalam kerinduan. Sehingga kita lupa bahawa masa lampau adalah sesuatu yang pasti tidak akan kembali, yang ada hanya hari ini yang berbaki dan esok yang belum pasti.
Rindu itu anugerah dari Tuhan. Menanggungnya umpama kesakitan yang membakar semangat. Menderita kerinduan jangan membunuh iman, tapi kurniaan yang membawa dekat kepada Tuhan.
Rindu seorang hamba pada Tuhannya akan membawa amal yang berpanjangan. Rindu seorang umat pada rasulnya akan membakar semangat jihad ynag berkobar. Rindu seorang pejuang pada kemenangan yang sangat dekat akan mengesat peluh dan airmata yang tumpah dalam perjuangannya.
Dan rindu seorang aku, fitrah anak rantau yang jauh dari keluarga. Rindu ini tidak pernah padam, terus membara dan menyala. Kesakitan rindu ini yang meniup semangatku agar tabah mengutip ilmu. Sengsara rindu ini yang menjadikan aku berdiri pada siapanya aku. Agar tidak aku lupa diri pada susur galur kejadian dan kehidupan ku. Rindu ini akan membawa aku pulang, kelak bila amanah sudah langsai, bila kerja sudah selesai, kerana penawar rindu ini tiada disini. Biar rindu ini terus mekar agar aku tidak lupa aku siapa…
Langkah-langkah hidup akan menemukan kita dengan persinggahan yang pelbagai. Setiap persinggahan pula akam melakarkan kenangan yang akan ditinggalkan. Hidupkan kenangan-kenangan itu sebagai pengajaran di masa mendatang.
Setiap persinggahan akan berbeza ceritanya, berlainan plotnya. Ada kisah gembira dan akan ada kisah gulana. Namun kalau ketemu insan-insan yang menyeksa kehidupan, belajarlah untuk tidak menyalakan api kebencian.

Bagaimana? Fikirkan begini…setiap yang Allah ciptakan tiada satu pun yang sia-sia melainkan kita yang selalu mensia-siakan kurnian Allah. Segalanya dengan hikmah yang terahsia. Hikmah itu yang perlu dicari dan digali. Ingatlah segala yang ada disekeliling kita adalah sesuatu yang Allah kirimkan sebagai rahmat, tapi sekadar pinjaman sementara yang akan pergi pada bila-bila masa. Ada insan yang Allah kirimkan agar menjadi orang yang membantu segala sesuatu. Ada insan yang Allah hantar untuk memberikan ilmu, mengajarkan makna hidup, paling tidak pun menjadi teman-teman agar hidup ini tidak membosankan. Cuma, versinya berbeza kerana subjek kehidupan bukan seperti kuliah yang ada peperiksaan dihujung semester. Makna hidup perlukan pengalaman, penilaiannya setiap saat dan hasil ujiannya hanya ada di Mahsyar.
Pasti pernah ada ketika hadir manusia-manusia yang sengaja menyakitkan. Datang membawa seribu satu beban dan kemarahan. Berbicara dengan lidah melukakan hingga memberi tekanan dan kadang-kadang menyebabkan air mata berlinangan. Andai datang saat ini, belajarlah bersabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar. Memang dia dikirimkan untuk menguji kesabaranmu. Redhakanlah hati bahawa diri ini bukanlah insan yang sempurna jadi mengapa mengharap semua orang yang ada dalam hidup kita ini adalah baik-baik belaka. Berikanlah kemaafan atas kesilapannya kerana dia juga insan sepertimu yang sedang mencari makna kehidupan. Mungkin dia khilaf kerana dia tidak tahu. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Sesungguhnya dengan memberi kemaafan engkau meringankan beban mu sendiri. Jika terasa terlalu payah maka titipkanlah namanya dalam bait doa-doamu. Agar kebencian dihatinya pudar bertukar kasih.
Janganlah tatkala berhadapan dengan insan seperti ini, kau lawan dengan api kebencian, tiada siapa yang akan menang. Kelak akan membawa kepada permusuhan yang panjang.Janganlah hati nan sekeping ini dicemari rasa benci. Diri sendiri yang akan rugi. Bukankah nabi pernah berpesan; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya” (riwayat Bukahri dan Muslim)
Akhir kesimpulan, didiklah hati, jangan hidupkan perasaan benci..
Episod: Kasut raya…
“Dik, cantiklah kasut tu tadi kan…” bicara ku sewaktu pulang dari membeli-belah untuk persiapan raya. Teringat dengan kasut yang aku berkenan di kedai kasut tadi. Tapi harganya agak mahal sehingga membantutkan hasratku untuk membelinya. “ Yelah, orang suruh beli, akak taknak” jawabnya kepadaku. “Mahal sangatla” dia sudah tahu alasanku tidak membeli kasut itu tadi, walau pun memang aku sangat berkenan. “Takpela kak, mencintai tidak semestinya memiliki…” katanya dengan senyuman cukup manis memandangku. Sengajalah tu nak mengenakan aku..hmmm.
“Adik…” aku pula yang tersenyum melihatnya.
“Kita memang hanya diberikan hak untuk mencintai, namun tidak pernah ada hak untuk memiliki. Setiap yang ada atas muka bumi ini milik Allah yang Dia pinjamkan kepada kita.”
“Hmm..” dia menarik muncung kerana kata-katanya ku bidas begitu. “Habis tu kenapa akak tak doa supaya Allah bagi akak kasut tu?” sengaja dia menduga begitu. “ Akak mintaklah sayang…akak mintak pada Allah semoga akak dimurahkan rezeki, dapat duit lebih, boleh beli kasut yang akak berkenan tadi.”
“Masa tu, orang dah beli kasut yang akak berkenan tu.” Dia masih tidak mahu mengalah. “Kalau macam tu, kasut tu memang bukan untuk akak. Akak cariklah kasut yang lebih cantik dari tu. Kedai kasut kan ada banyak lagi.” Aku sekadar manjawab omelannya sementara bas masih belum sampai.
“Akak…”
“Apa dia?”
“Tadi akak kata, kita tiada hak untuk memiliki, habis tu kalau adik suka kat sesuatu dan adik nak sangat pada benda tu, tak boleh ke untuk adik dapatkan benda tu?”
“Mestilah boleh, adik kena usahalah dapatkan apa yang adik nak. Asalkan perkara tersebut baik. Tapi adik kena ingat apa yang adik dapat tu, bukan hak milik mutlak adik. Itu sekadar nikmat yang Allah pinjamkan buat adik sebab Allah sayangkan adik.”
“Yelah, Allah memang sayangkan hambaNya. Tapi, macam mana kalau ‘benda’ yang adik nak tu adalah seseorang, boleh tak?” soalannya ini disertakan dengan sengih panjang macam kerang busuk. “wah, advance nye soalan” aku sudah mula malas melayan pertanyaannya. “boleh tak?” dia mengulangi kembali.
“ Kan akak dah cakap, segala yang ada diatas muka bumi ini milik Allah. Kalau adik nak pinjam, mintalah dari Tuannya. Nescaya adik akan dapat. Tapi, kalau adik tak dapat apa yang adik suka mungkin itu bukan yang terbaik untuk adik dan Alllah dah sediakan apa yang lebih sesuai buat adik. Ingat tak surah al-baqarah ayat 216, boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu sedangkan ia baik untuk mu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui sedang kamu idak mengetahui. Faham sayang?” aku berharap tiada soalan lagi darinya.
“Ohh…camtu. Hmmm…akak minta siapa untuk dipinjamkan kepada akak?” dia sengih bermakna.
“Ish..adik ni. Mula lah tu. Soalan tak berkaitan. Tanya benda lain..” Dia tergelak kecil kerana berjaya mengusikku. “ ok..ok..adik tanya benda lain…hmmm, akak nak lagi ke kasut tadi tu kalau akak ada duit?”
“Nak”
Ada seorang gadis
Termenung dijendela
Melayani hatinya
Yang telah terluka
Oleh kata-kata lidah manusia

Deraian air mata membasahi pipinya
Lemah dia mengharap ketenangan jiwanya
Serta kesabaran menghadapi dunia yang fana

Aku datang dan menyapa
Kusapu airmatanya
Ku usap lembut rambutnya
Kudakap erat dia
Aku bertanya dan dia bercerita.

Akhirnya dalam gerbang ramadhan
Dia sapu airmatanya sendiri
Dia hendak bangun, tidak peduli
Dia tidak mahu menangis lagi
untuk meratapi kekurangan diri
Dia tidak akan kisah jiwanya hilang
Yang penting dia tidak mahu lagi jadi insan menjengkelkan
Dia bukan merajuk, kerana dia yakin tiada sesiapa yang akan memujuk
Dia hanya mahu mencari harga diri yang lebih tinggi
Yang tidak diperlekeh sesuka hati
Walau dia bukan puteri, dia juga seorang manusia yang punya hati
Andai dunia tidak mahu tahu dia punya jiwa,
Biar jiwa itu pergi, dia tidak akan cari


Kugenggam tangannya erat
Kutatap wajahnya yang dibasahi airmata
Kupujuk hatinya dengan kata-kata
Agar ada sedikit kekuatan untuknya mendepani derita
Kubisik ditelinganya…
Jangan bazirkan airmata ini buat manusia yang tidak pernah menghargai
Sebaliknya, kuatkan hati agar air matamu bernilai tinggi
Carilah jiwamu kembali, kerana ia milikmu
Jangan kerana manusia tidak mahu mengerti, kau biar jiwamu pergi
Ukirlah sebuah senyuman, tanda segenggam ketabahan
Sungguh dunia akan ketawa pada airmata kelemahan

Dia geleng kepala
Bersama air mata yang masih ada
Katanya dia sudah muak untuk terluka
Sudah tiada ruang lagi dihatinya
Untuk dihiris-hiris oleh lidah manusia
Dia tahu dia bukan insan mulia
Tapi janganlah kekurangannya dihina
Dia tidak minta dipuja
Cukuplah sekadar manis bicara

Aku tarik nafas panjang
Dan kuhembuskan perlahan
Sedih benar hati seorang gadis ini
Mungkin sudah terlalu banyak luka dihati
Sehingga sekeping hati itu sudah kering tidak bernadi
Dan air mata sudah enggan menjadi saksi
Tak kan ku tinggalkan dia sendiri
Kudakap dia lagi lebih erat kali ini
Kuhadiahkan kucupan didahi
Aku mahu dia mengerti
Bahawa dia tidak sendiri
Kali ini aku hanya berkata; menangislah semahumu

Bagai arahan yang dipatuhi
Dia benar-benar menangisi
Menghamburkan segala luka
Melepaskan semua rasa
Bagai kesal dengan hidupnya
Hingga akhirnya esakan itu membawa dia lena

Aku hanya mampu berdoa
Agar tabah sekeping hatinya
Moga teguh iman didada
Mudah-mudahan dia sedar, bahawa Tuhan sedang mengujinya
Moga dia ketemu jalan ketenangan
Memanggil semula seorang gadis suci dari Mekah, untuk pulang.


Sungguh kembara disini cukup indah, kerana ku temui salam cinta dari Allah






















Kembara ke bumi Cameron untuk kajian lapangan subjek botani...