Suatu ketika, kerabat istana akan mengadakan majlis tari menari bagi memberi peluang kepada semua anak gadis yang ada di seluruh pelosok negara datang ke istana. Menari dan mencuri hati si putera agar mudah si putera memilih calon puteri diraja. Gadis cantik molek pasti akan jadi pilihan namun yang lebih penting mestilah pandai menari agar boleh beraksi dihadapan putera raja dan menarik perhatiannya. Saat ini sudah lama dinantikan oleh Cinderella, gadis penari lincah berkasut merah jambu ini berhasrat untuk hadir kerana dua kesukaan, pertama, dia amat suka akan tarian dan yang kedua dia sudah lama terpaut hati pada putera raja berwajah tampan.
Siang dan malam Cinderella menari dan mencari rentak yang penuh rasa cinta untuk diluahkan pada pemuda idaman. Disaat majlis semakin dekat, papa kesayangan Cinderella telah membelikannya sepasang kasut tumit tinggi yang baru. Sangat cantik dan indah. Berkilauan dan bersinar laksana sepatu kaca yang sepadan buat seorang gadis bernama Cinderella. Papa mahu kasut cantik itu Cinderella pakai sewaktu majlis tari-menari di istana raja, agar Cinderella nampak anggun dan bergaya. Papa belikan kasut itu juga kerana papa tidak mahu Cinderella menari dengan kasut merah jambunya yang sudah lama. Mulanya Cinderella enggan. Dia sangat sayang pada sepatu merah jambunya dan sepatu itu amat sesuai dipakai dalam setiap gerak tarinya.
Majlis tari menari yang dinanti-nantikan semakin menjelang tiba. Cinderella masih berlatih seperti biasa. Cinderella punya impian untuk menawan hati sang putera, kalau pun tidak berjaya mencuri hatinya, cukuplah Cinderella bisa membuatnya terkesima dengan lenggok tari seorang penari lincah bersepatu merah jambu. Merah jambu? Bukan. Penari bersepatu kaca. Tersentak Cinderella kerana dia bukan penari lincah dalam sepatu kaca. Sepatu itu terlalu cantik untuk disarungkan ke kakinya tatkala dia sedang menari. Dia tiidak lincah dalam sepatu indah sedemikian rupa. Argh..bagaimana hendak menawan hati sang teruna dalam langkah yang sumbang. Dihujung penantian, Cinderella hilang rentak, memilih dua jalan.
Disaat Cinderella hampir mahu meratapi nasibnya, papa datang dan berkata, “pergilah mencari cinta mu dalam tarian lincah bersama sepatu merah jambu mu itu, papa tidak akan berkecil hati”. Kalimah itu meniup semangat Cinderella untuk berjuang mencari cintanya. Membuka harapan seorang putera raja menanti gadis yang sering hadir dalam mimpinya. Menjadikan sepasang sepatu merah jambu terus bermakna. Hanya kerana keputusan seorang papa Cinderella. Bukan sepatu kaca itu tidak menawan, tapi sepatu merah jambu sudah menjadi jiwanya.
0 kata kamu:
Post a Comment