Saya tidak tahu apa yang sebaiknya untuk ditulis, semoga apa yang tertari pagi ini tidak mendatangkan mudarat kalau ia tidak menghasilkan manfaat.
Sepanjang perjalanan ke sekolah pagi tadi, saya pasangkan cd mengaji, memang setiap pagi begitu kerana ia adalah terapi jiwa yang baik dan yang lebih penting supaya fikiran tidak berfikir pelik-pelik.
Sepanjang perjalanan, saya teringat pada seorang insan yang pernah saya ziarahi hampir dua tahun yang lalu. Ketika saya melawatnya dia diam tidak langsung berbicara, kalau ada pun, tuturnya tidak difahami oleh saya. Diruang kecil itu, tenang anaknya mendakap dan melayaninya sedang saya berhabisan cuba menahan tangis agar tidak tumpah. Keluar sahaja dari pintu yang memisahkannya dengan dunia luar, saya hamburkan tangisan melepaskan segala rasa kasihan yang tidak terungkap. Tiada siapa mengerti mengapa begitu takdir hidupnya, kenapa hidupnya hilang cahaya, kosong makna.
Dengan perasaan saya mendeduksi jawapan. Saya kira, mungkin dalam hatinya pasti ada suatu cerita tersimpan, cerita yang tidak akan dia luahkan. Mungkin padanya, lebih baik diam dari bersuara. Mungkin dalam jiwanya ada satu rasa, rasa yang tidak terungkap pada sesiapa. Lama dia menyimpannya, hingga akhirnya rasa dan cerita itu menghilangkan waras akalnya. Mungkin dia nekad mengorbankan dirinya, hatinya, jiwanya, rasanya, semangat hidupnya, demi insan-insan yang dia cinta. Syukur dia punya tiga permata berharga menemani sunyinya. Dia mutiara dihati mereka.
Pagi ini saya terasa sangat ingin menziarahinya, tapi dia jauh diseberang sana. Lalu saya titipkan doa agar dengan barakah dan kemuliaan Ramadhan ini dia menemui rasa tenang dan bahagia hingga ke akhir hayatnya. Amin.