..ketika aku sedang menangisi sebuah cinta yang terhalang..
..ketika aku sedang sarat tidak tertanggung perasaan..
..ketika aku sedang cuba untuk diam, memendam kepahitan..
..kamu datang menambahkan kelukaan memeritkan penderitan..
..dengan tuduhan tanpa sandaran, sedangkan ceritaku bukan tentang persembahan..
..tapi tentang aku dia dan lagu...

..aku sudah bosan menuntutnya disini, kita jumpa disana nanti..
Semalam, entah bagaimana kudrat Tuhan menjodohkan pertemuan aku dengan sebuah blog, yang terkandung di dalamnya, cerita tentang aku. Selesai membaca, aku teringin benar meninggalkan komen, tapi disebabkan ketika itu aku sedang berada dalam emosi yang terganggu, lantas, aku biarkan sahaja terlebih dahulu…lebih baik aku cerna dan hadam apa yang ditulis dengan hati yang tenang. Lumrahnya sebagai seorang manusia aku sangat terkilan dengn coretan itu. Ingin benar aku balas apa yang diperkatakan…tapi, selesai mandi aku sudah lupa apa yang hendak aku hamburkan sebentar tadi..

Pernah suatu ketika, seorang teman meluahkan ayat menyakitkan hati aku. Penuh bongkak dan keangkuhan menyebabkan kemarahan meledak. Terus aku tinggalkan dia dan pulang ke bilik. Dalam bilik, aku duduk dan berfikir, ingin benar aku hendak meluahkan kemarahan sepuas-puasnya. Lantas mesej dihantar mengatur pertemuan. Sayangnya, dihujung pertemuan, aku pula yang memujuk.

Aku sangat tidak suka dimarahi dihadapan orang lain. Bukan aku sahaja begitu, orang lain pun aku kira tidak suka dimarahi. Ketika seorang kawan memperlakukan aku sedemikian di sebuah restoran makanan ringan, aku rasa jauh hati malah terkilan. Kononnya, aku ingin merajuk. Bukan merajuk minta dipujuk, sekadar cuba protes akan tindakannya… tapi, segalanya tiada makna, malamnya aku sudah terlupa, kami ke pantai bersama.


Aku juga punya seorang kawan yang agak baran. Selalu menyakitkan hati. Apa yang ada pada aku, selalu tidak kena. Senyum salah, menangis pun salah. Tapi, bila dia tiada untuk memarahi dan menyakiti, aku jadi rindu…

Pernah sekali, aku marah pada seorang adik yang degil. Nasihat tidak diendahkannya. Rasa terkilan juga. Tapi, beberapa jam selepas itu, aku sudah duduk semeja bersembang dengannya macam biasa…

Ketika mesej tidak berbalas, aku rasa terkilan. Bukan bertanya soalan suka-suka atau sekadar memenuhkan inbox bertanya khabar. Aku perlukan jawapan segera. Tapi, berkali-kali mesej dihantar, tidak berbalas jua. Selalu, bukan sekali dua. Hmm..biarlah, lupakan saja.

Bukan aku tidak pernah ada rasa marah, bukan aku tidak tahu untuk merajuk. Aku juga punya sekeping hati yang akan terkilan bila disakiti, terluka bila dikasari… Cuma aku selalu terlupa, semalam marah, hari ini dah kebah. Siang tadi merajuk, hilangnya tak perlu dipujuk. Aku selalu terlupa…


Soalan aku, adakah bila aku selalu terlupa, perasaanku tidak perlu dihargai, jiwaku tidak perlu diambil peduli.
Kalau pun jawapannya ya dari kamu semua, tak mengapa, mungkin hari ini aku terasa, malam nanti aku sudah terlupa…

aku hendak belajar untuk merajuk seketika, kerana aku rasa, adakalanya rajuk dan marah itu perlu...

Imtinan sedikit kebah. Nafasnya kembali ada untuk melayari internet walaupun aku sedikit jenuh dengan ‘chipsmore’nya yang sering mengganggu. Sepatutnya aku mencari maklumat dan menyiapkan kerja yang diarahkan oleh sifu, tapi entah bagaimana jari dan mataku menjalar ke tempat lain. Satu persatu blog rakan-rakan aku terokai, dari yang akrab hinggalah kenalan biasa.

Membaca setiap tulisan itu bagaikan membedah irama hati mereka. Dan terpamer segala rasa yang tersimpan kerana tidak punya ruang untuk meluahkan pada insan. Maka dalam rentak tulisan itulah tercurah segalanya.

Hidup ini terlalu pantas untuk dikejar. Semalam dan hari ini tidak akan pernah sama. Mungkin ada sesuatu yang sangat kita sukai semalam, akan hilang pada hari ini. Dan apa yang kita cintai hari ini akan pergi hari esok. Apakah tidak boleh untuk kita miliki apa yang sangat kita cintai? Hakikatnya, pernahkah kita punya hak untuk memiliki sejak semalam, hari ini, esok dan selamanya…

Aku, kamu, kita dan mereka juga sudah jauh berbeza. Tiada lagi istimewa, jauh sekali cinta. Malangnya kita tidak pernah tahu sejak bila perbezaan ini bermula. Adakah kita sudah jemu untuk bersama? Atau kita sudah benci untuk berkongsi rasa? Atau sebenarnya memang kita ini manusia yang akan membuang sepah setelah manisnya tidak terasa.

Aku rindu saat semuanya itu, sebelum nanti aku pergi jauh dari sini. Saat sunyi dan sendiri akan mencipta ruang untuk aku tenggelam dalam kenangan yang kita cipta bersama. Indahnya senda gurau kita yang membuahkan gelak ketawa. Bahasa mata yang tidak perlu kepada kata-kata. Cerita dan panglipulara dalam becok mulut kita berbicara, terus dan terus…kita kongsi segala. Sesudu disuap bersama, satu dibahagi dua. Gelak kita senada, tawa kita seirama. Selalu tercipta dunia yang hanya ada kita dan kita.

Bukan sekadar saat suka, kita juga selalu bersama manyapu air mata. Sering kita jatuh tersungkur, menangis namun kembali bangkit dan berlari walau menahan kesakitan. Kita basuh darah-darah luka yang mengalir dan kembali senyum dalam kelukaan. Namun, mengalah bukan kita. Pernah juga kita merana kesakitan dalam diam namun mata kita tidak mungkin berjaya menyembunyikan kenyataan. Dan kita sampaikan kefahaman itu tanpa ungkapan.

Mengapa kita letakkan noktahnya sebelum saat itu tiba. Apakah benar kita sudah tekad untuk beralih cinta, mengubah dunia, mencari hala berbeza…sedangkan kita masih punya masa untuk mengutip bahagia bersama. Tiadakah pertimbangan dengan akal yang rasional dan hati yang cekal. Jika begitulah pilihan, mudahnya kita lupa.

Biar apa pun ceritanya hari ini, terima kasih teman atas semalam yang engkau beri...


Atas Nama Cinta -UNIC

Tika mata diuji manisnya senyuman
terpamit rasa menyubur harapan

Dan seketika terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan

Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan

Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba menghindarkan pesona maya

Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka

Diatas nama cinta pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redha-Nya

Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa

Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai nikmat-Nya
Syurga-Nya....Cinta-Nya


:Jangan bertanya selagi belum tiba masanya:
Hari ni adalah hari terakhir aku buat Rancangan Orientasi Sekolah di SMT Matang. Memang ROS ni agak membosankan sebab aku takde pape nak dibuat melainkan memerhati sekolah ni. Namuan begitu, ada juga beberapa pengajaran dan pengalaman manis yang akan dijadikan bekal.

Disini palajar panggil aku ustazah, fuh..tak tau kenapa..merasa jugak panggilan tu walaupun aku cikgu biologi. Tapi, setakat panggilan mana best. Suatu hari, ketika aku disuruh sit in dalam kelas 4 PPU untuk subjek pendidikan Islam, aku sempat mengajar satu subtopic, dosa-dosa besar..haha..merasa jugak jadi seorang ustazah, alhamdulillah…itu manisnya

Tapi, bila betul-betul berada dalam profession perguruan, seriau jugak dengan cabarannya. Minggu pertama ROS, dah dengar cerita-cerita yang menakutkan. Cerita seorang pelajar di sekolah berdekatan diperkosa atas jejantas, seorang murid perempuan diraba tujuh orang pelajar lelaki disekolah yang lain. Lepas tu, tengok pelajar bergaduh, bertumbuk, ponteng..huhu..macam nak nangis je..dan sehari sebelum ROS ku berakhir, aku tangkap sepasang pelajar berdua-duaan didalam surau sekolah…Oh..Tuhan! inilah anak-anak yang perlu aku didik.

Inilah profession yang aku pilih. Biar apa pun dugaan datang, hati perlu cekal. Masakan aku mengalah sebelum perjuangan bermula!
Aku cuba lagi membiarkan jari ku menarikan suara hati. Banyak erti hidup yang aku pelajari akhir-akhir ini. Tentang tabah, tentang ukhwah, tentang cinta dan tentang setia. Tentang memberi pada sesiapa, tanpa mengharap untuk menerima. Tentang aku, dia dan kamu. Tentang semua.

Tapi, tidak tahu mengapa, setiap hari aku cuba bercerita, semua terpendam sahaja. Walau sudah ada irama dan tariannya juga sudah terjelma, tapi tersimpan sahaja akhirnya. Mengapa jadi begini? Semangat zakiyaphilia ku seakan pergi.

Apakah hatiku sudah kering tidak bernadi? Sudah hilang rasa cinta, sudah tiada lagi simpati? Apakah hatiku hilang rasa sayang,tiada rasa kasih? Hingga hatiku menjadi sepi tanpa irama hati bagai pantai tiada pukulan ombak tenang atau kencang.

Hati ini perlu diperbaiki. Aku mesti mencari reformasi hati. Aku tida mahu jadi gadis tidak beremosi. Perbaiki hati ini agar kembali sedar bila diuji, sedih bila dibenci, gembira bila dikasihi, menangis bila dimarahi. Semoga hati ini lunak kembali, memenuhi fitrah insani kerana hanya hati yang lunak mudah tersentuh dengan kasih Ilahi.

"Sesungguhnya dalam sebuah jasad ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad itu. Jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh jasad itu dan daging itu bernama hati." Hadis riwayat Bukhari.
MUSIm

Sebenarnya aku rasa malas untuk mencoret apa-apa disini. Mood cuti mencutikan jugak jari-jariku dari mencurah cerita dari hati. Namun, dek kerana kelembapan internet ni, aku ringankan jari untuk menari irama apa sahaja.

1. Sekarang musim panas, sangat panas. Tidak sanggup rasa nak keluar dari rumah waima hanya untuk mengejar Wafi yang terlepas keluar. Kempen menyelamatkan bumi perlu diperkasakan. Jadi dimana-mana sahaja aku pergi membeli belah, aku akan katakan "takpayah plastik..." sampai emak pun naik pelik. juruwang kat kaunter pun lagi tayang muka pelik. Anyway, terima kasih USM kerana berjaya manjadikan ayat itu sentiasa dimulutku..hehe

2. Sekarang juga musim cuti sekolah, bermaksud musim kenduri kahwin. Dalam tempoh dua minggu ni je, hampir setiap hari aku pergi kenduri. Kenduri kahwin, doa selamat..dan macam-macam jenis kenduri. Apa yang aku suka majlis kenduri akan menemukan aku dengan teman-teman kecil dahulu. kenangan...

3. Aku dikhabarkan bahawa sekarang ini juga musim cinta. Mungkin ya...musim kahwin, pastinya dari rasa cinta. Sukar aku meluahkan betapa gembira dan senangnya hati melihat seorang kenalan yang kini sudah bahagia berumahtangga. Tahu kenapa? kerana akulah orang tengah mereka. Akulah yang memperkenalkan mereka lebih kurang tujuh tahun yang lalu. Kini, mereka sudah sah manjadi suami isteri. Hmmm...ada bakat jugak aku carikan jodoh untuk orang ya..hehe...ada sesiapa yang mahukan perkhidmatan? haha...
Cerita tentang itu teringat dengan seorang teman yang sedang mengubati hati luka dan seorang lagi teman yang sedang mencari teman setia, aku terasa ingin menemukan mereka..mungkin aku boleh mencari kejayaan kedua..kalau diizinkan oleh Yang Esa! (aten nak join?)
Cerita terakhir tentang musim cinta. Aku sedang membutakan mata, memekakkan telinga dari menjadi saksi cinta dusta manusia, aku tahu nanti ada hati yang bakal tidak bahagia. Biarlah... jika itu maknanya cinta buat mereka. Aku doakan apa yang aku tahu tidak akan berlaku.

4. Aku tahu, kali ini coretan ku merapu...kalau ada iktibar ambillah. Kalau mengerti, fikir-fikirkanlah, kerana jemari ini masih menarikan irama hati...

"...aku menulis bukan kerna nama, kerna sifat kasih pada sesama insan, dan menyatakan kasih sayangku.."