Sepanjang usia aku yang baru menginjak 22 tahun ni, ada dua bidang yang sangat aku cintai. Dan bila aku mencintai, aku akan lupa segala yang lainnya..

Pertama, bidang persilatan, haha..mungkin ada yang sukar untuk percaya. Aku mula masuk silat tingkatan satu. Mula-mula mak tak bagi, tapi aku pujuk jugak sampa mak bagi. Masuk sebab setiap kali lalu kat dewan besar, akan dengar bunyi orang bersilat..best..sangat bersemangat.

Bermula dari itu, setiap petang selasa dan jumaat, aku dah siap dengan pakaian silat kat dewan tunggu tok guru datang. Tak pernah ponteng. Dari tingkatan satu sampai tingkatan lima. Aku tambah teruja bila terpilih untuk ikut serta pertandingan mewakili sekolah peringkat negeri, sebagai penyokong jer, mase tu tingkatan dua. Bermula dari saat aku menyimpan azam untuk mewakili sekolah. Tingkatan tiga aku pergi lagi, kali ni sebagai simpanan, huhu, ada perkembangan, dan sewaktu di tingkatan empat aku berjaya mewakili sekolah untuk pertandingan seni silat sekolah-sekolah menengah peringkat negeri Sarawak. Tuhan je tahu betapa seronok dan teruja nya aku ketika itu, walau pun tak menang.

Ketika itu, apa sahaja program yang bertindih dengan silat memang aku akan pilih silat. Pernah sekali, sekolah buat majlis solat hajat untuk pelajar PMR dan aku adalah calon PMR tahun tu, tapi aku pilih untuk pergi rehearsal persembahan silat untuk Festival Silat Borneo Serantau, rehearsal je pun..lagipun ada 1000 pesereta lain yang ada, aku tak de pun tak de kesan...alasan aku, festival ini dua tahun sekali jer..ceh, PMR sekali je seumur hidup, tapi itulah kalau aku sudah mencintai...aku tidak akan berhenti selagi aku tidak mencapai apa yang aku ingini

Ingatkan, habis form five, berhentilah kegilaan aku tu. Tak jugak, sampai kat matrik, terjumpa plak abah, family angkat aku kat Labuan. Abah pulak guru silat. Kat matrik kelas habis pukul 3.30 petang, pukul empat aku dah gigih pusing trek buat warming up. Setiap petang dan aku tidak pernah ponteng.!Disebabkan aku AJK Surau Al-iRfan , lajnah makanan plak tu, setiap khamis dan isnin ada masak-masak untuk buka puasa sunat, dengan baju silatlah aku akan pergi goreng jemput-jemput, lepas siap, aku akan berlari ke padang untuk latihan.

Dengan segala kegigihan (haha) berlatih silat tu, empat bulan tanpa henti..cuti pun tak balik..aku berjaya mewakil Labuan ke pertandingan seni mempertahankan diri peringkat kebangsaan, di Johor. Abah ajar main pisau, tempur tangan kosong, main bunga, satu acara lagi tak ingat...main pisau tu sampai berdarah-darah..partner akulah..aku tak pernah cedera spenjang bersilat. Hehe. Akhirnya aku berjaya bawak balik satu emas dari kejohanan tu...sangat puas hati kerana impian aku dah tercapai. Selepas matrik aku tinggalkan dunia kecintaanku yang ini kerana segala impian sudah terlakar sangat indah dalam kenangan..

Kedua, debat. Bermula bila aku masuk usm. Ketika sedang berjalan-jalan kat foyer DK. Nampak abg kimi, kak shiela dan abg zali sedang duk kat kaunter cari AJK untuk pertandingan debat alam sekitar di USM. Tanpa berfkir panjang, aku pun isi borang dan jadilah aku LO untuk team debat uitm waktu tu. Jadi penjaga masa je...kalau ingat balik masa tu, macam tak sangka pulak sekarang ni aku pendebat. Pernah satu perlawanan tu, UPM lawan u mane entah...pendebat ketiga UPm, saudara Amiruddin yang sedang meletup sekarang. Boleh ingat Amir sebab dia angkat botol air semasa berdebat, dapat best speaker walau pun dieorang kalah pusingan tu. Sekarang ni, berkali-kali jugak jumpa amir dalam perlawanan, tak pernah aku menang. Dan aku akan pujuk hati macam ni, takpelah kalah dengan amir, aku pernah jaga masa die jer sewaktu dia sudah mewakili u dulu. Oklah kan...haha. itu agaimana aku bermula manjadi seorang pendabat university.

Tak perlulah untuk diceritakan bagaimana aku mencurah cintaku pada dunia perdebatan kerana cerita cinta itu hanya ada dalam hati dan sangat sukar untuk diceritakan disini. Tak payah cerita berapa banyak kelas aku ponteng untuk pergi debat. Berapa banyak aktiviti ko-k (kelanasiswa) aku tinggal sebab nak datang latihan debat hujung minggu. Cuti memang tidak pernah ada. Selepas aku join debat, aku tak pernah masuk persatuan lain, persatuan mahasisiwa islam pun aku tak masuk, apatah lagi persatuan ilmu pendidikan k, majlis penghuni desa k...bila orang tanya kenapa aku tak masuk, aku jawab senang je. Malas. Hakikatnya aku taknak ada satu pun jadual yang clash dengan debat. Aku sanggup tunda aku punye Program Induksi Kendiri kat sekolah, sebab nak pergi debat integrity yang waktu cuti tu...dan bila dah buat kursus tu aku mintak lagi cuti sebab nak pergi debat perpaduan pulak...ish3...aku memang gila. Coursemate aku semua bising, taknak grad ke budak ni..huhu. airmata usah dikira berapa banyak yang sudah tumpah...

Sekarang, aku sudah dihujung perjalanan, mahu atau tdak aku mesti menamatkan cerita kecintaan ku ini. Masalahnya, aku masih sangat belum puas...huhu...kecintaanku masih membara dan tidak pernah reda.

Kerana itulah aku tidak pernah berani untuk jatuh cinta dan jangan sesekali buat aku jatuh cinta..kerana ku akan lupa segalanya..lupa daratan, lupa lautan, lupa pantai, lupa ikan, lupa hutan, lupa awan, lupa hujan, tapi takkan lupa cintaku..

dan aku tidak pernah berputus asa selagi cintaku ada...kerana itu aku sangat pantang pada orang yang mudah menyerah kalah sebelum berjuang..fight oh!

Sekarang ni dalam kesibukan yang tak dapat dielakkan. Jadi, ruang ni terpaksa dihiasi dengan sawang dan apa sahaja yang menandakan ia tidak dikemaskini. Sedang cuba mencuri masa untuk membersihkan sawang-sawang tersebut.

Huhu..saya tidak suka memberikan jawapan 'sibuk' bila ditanya. Tapi kali ini saya tidak boleh lagi mengelak. Ada beberapa urusan penting yang perlu dilaksanakan segera.

Oh ya. Mohon maaf kepada seorang teman yang memohon pertolongan. Langsung tidak berdaya memberikan pertolongan kali ini. Ada kekangan yang menghalang. Apa=apa pun, saya tahu awak boleh lakukan, awak juga sudah biasa berjuang. Cuma satu yang ingin saya ingatkan...dalam perjuangan aku tidak takutkan kekuatan pihak lawan, tapi aku takut pada timbunan dosa-dosa yang menghalang datangnya pertolongan dari Tuhan..semoga berjaya ya!

ada banyak yang hendak saya sampaikan, tunggu ada kesempatan...

salam

Esok ada test dan final presentation. Dalam sedikit senggang waktu rehat, sempat aku meneroka entri teman-teman yang terpapar diruang maya...

Pelbagai cerita dan alunan suara hati yang sedang kesakitan.
Ada yang sedang resah mencari makna cinta
Ada yang sedang derita hidup dalam sepi
ada yang menangis rasa dipergunakan
ada yang rasa kosong kehilangan
ada yang mencari tujuan sebuah kehidupan
ada yang merasa tiada apa-apa dalam kehidupan melainkan rutin kebiasaan yang berulang dan terus berulang.

Kehidupan memang akan terus begitu jika kita tidak membezakannya dengan robot yang telah diprogramkan. Bangun dari tidur dan siap sedia melakukan apa yang dilakukan semalam. Tapi, kita ini manusia, punya hati punya jiwa yang membezakan kita dengan makhluk lain. Hati itulah raja yang menerbitkan 'mahu' dari akal yang 'tahu' atau 'tidak tahu'.

Apa sahaja disaster yang berlaku dalam kehidupan kambalilah melihat pada hati, di situ ada jawapan. Keserabutan ini kerana kita gagal menggunakan hati.

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memliliki HATI tapi tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah)dan mereka memilik mata (tapi) tidak menggunakan untuk melihat (kebesaran Allah) , dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak menggunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, malah lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah." 7:179

" Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tapi yang buta adalah hati yang ada dalam dada" 22:46

Jadi ketika hati sedang tenat menentang arus dunia, dimana hendak mencari penawarnya..
"Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu palajaran (al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman." 10:57

selalunya, ketika kita sedang menanggung perit dan kesaktian jiwa, kita enggan mendengar nasihat dan teguran typical dari teman lain. mungkin kerana sudah muak atau kita sendiri boleh melafazkan ayat yang sama
jadi, sesekali, cubalah belek penawar yang telah diciptakan oleh Tuhan yang Esa, kerana sakit itu takdir yang Dia kirimkan buatmu, penawarnya juga Dia tidak lupa untuk titipkan bersama...

bangkitlah semula...FIGHT OH!


Kelas Kompang

Aku mesti ambil ko-k sem ni, kalau tak, tak graduasi. Kelas ko-k ni boleh diganti dengan paper opsyen sebenarnya, jadi aku pilih subjek Sejarah dan Falsafah Sains. Tapi, hari pertama kelas ada tiga orang sahaja pelajar mendaftar, dan kami disuruh menukar subjek kerana kelas hanya boleh diwujudkan jika pelajarnya tidak kurang dari lima orang. Haha.. aku pun memohon untuk kelas ko-k, ada tiga kekosongan sahaja yang tinggal. Kelas renang, teater moden, kompang berlagu. Kelas renang? Err..tak mungkin kot. Kelas teater moden, abang azhar kata, masuk kelas ni tak boleh pakai sarung kaki, jadi pilihan ni juga out. Kompang berlagu, haha..tiada pilihan lain. Jadi, hadir lah aku ke kelas kompang ni setiap hari khamis dan isnin. Setakat ni aku dah belajar berkompang dua buah lagu..ni lagunya..:)

Suriram..

Suriram ram…suriram ram

Suriram yang manis

Aduhai suriram sayang

Wajah yang cantik dipandang manis…

(part ni aku senyum sorang-sorang sebab rasa nak kata, ‘kalau tak cantik, tak manis dipandanglah ek..haha’)

(L)

Dualah tiga kucing berlari…suriram

Manakan sama si kucing belang …suriram

Dualah tiga boleh ku cari…sayang

Manakan sama adik seorang.

(P)

Dikiri jalan, kanan pun jalan…suriram

Tengahlah tengah pohon mengkudu…suriram

Kirim pun jangan pesan pun jangan …abang

Samalah sama menanggung rindu.

(L)

Api-apilah ditepi pantai…suriram

Nibong terlentang dihujung keling…suriram

Hajat dihati jikalau sampai…sayang

Bunga ditaman ingin disunting.

(P)

Batanglah padi, batanglah pinang…suriram

Pohonlah lada buahnya jarang..suriram

Kalaulah sudi lekaslah pinang… abang

Sebelum adik diambil orang

(L)

Tinggilah tinggi simata hari…suriram

Anak kerbau mati tertambat…suriram

Sudahlah lama abang mencari…sayang

Barulah kini abang mendapat.

(P)

Pucuklah pauh delima batu…suriram

Anak sembilang ditapak tangan…suriram

Walau pun jauh beribu batu …abang

Hilang dimata dihati jangan.

(L)

Asaplah api embun berderai…suriram

Patahlah galah haluan perahu…suriram

Niat dihati tak mahu bercerai …sayang

Kuasa Allah siapa tahu.

Suriram..ram..suriram..ram

Suriram yang manis

Aduhai suriram sayang

Wajah yang cantik dipandang manis..

Best tak? Haha..


Esok nak balik

Kegembiraan untuk pulang berhari raya sedikit dikaburi oleh Imtinan yang jatuh sakit tiba-tiba. Sakitnya kali ini paling parah. Bukan hatinya yang sedang tenat, tapi jasadnya seperti sudah tidak mampu lagi berkhidmat. Terlalu sayang untuk menggantikan Imtinan. Imtinan teman paling setia, tempat menumpahkan segala lara dijiwa, tempat mengubat rindu mengenang cerita suka, tempat meluah rasa menyimpan rahsia. Bertahanlah Imtinan untuk sedikit waktu lagi…


Ramadhan yang sudah dipenghujung

Dalam kegembiraan hendak menyambut syawal bersama insan-insan tersayang, terasa dahaga mencari sakinah dalam Ramdhan masih belum hilang. Tidak puas menghirup madu ibadah yang berlipat ganda ganjarannya. Masih belum kejap memeluk ramadhan dengan rangkulan paling erat. Masih ada culas yang sukar dipancung oleh pedang mujahadah, agar sujud lebih panjang. Masih ada hijab yang menghalang airmata lebih basah. Kalaulah ini Ramadhan yang terakhir, alangkah ruginya aku kerana tidak mengutip sebanyak-banyak rahmatNya, mengaut sepenuh-penuh maghfirahNya, menjauhkan diri dari neraka, menjejaki jalan kesyurga, mengintai malam al-qadar. Semoga baki malam-malam terakhir ini, ada kekuatan untuk menjadikan Ramadhan ini bekalan yang boleh membelaku di akhirat nanti..amin.


Hanya

Tiada aisya, tiada maria kerana tidak pernah ada ayat-ayat cinta dan fahamilah, aku hanya zakia.


Salam Kemaafan

Bagi setiap dosa yang telah kau lakukan…

Setiap kata-kata yang menyakitkan…

Setiap kekasaran dalam perbuatan…

Setiap luka yang kau berikan…

Setiap harapan yang aku hancurkan…

Setiap permintaan yang sangat membebankan…

Aku mohon keampunan.

Bagi setiap derita yang sangat menyeksa..

Bagi sengsara yang menghiris jiwa..

Bagi kesakitan yang menagih airmata..

Aku rayu dimaafkan segalanya

Dihalalkan semuanya..

Kerana aku hanya zakiyya yang selalu terlupa.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Dibawah bulan bintang

Baru pulang dari mencari ketenangan. Meninggalkan sebentar bumi Minden untuk ke raudhah kasih sayang. Merawat hati yang kusam. Betapa terasa kerdilnya seorang hamba ketika sujud diatas bumi berbumbungkan langit, di bawah cahaya bulan dan kerlip bebintang. Menadah telapak tangan merayu keampunan dari Tuhan. Tidak tertanggung rasanya diri ini dengan dosa yang menghijab kalbu dari cinta Ilahi. Semoga dalam barakah Ramadhan, sakinah ini berkekalan.

Kambingku dimakan harimau

Sampai sahaja di bilik, baru terasa keletihannya. Selesai berbuka dan solat, aku terlelap dalam balutan telekung. Mengantuk sangat. Ketika jam 1 pagi aku tersedar oleh bunyi bising. Panik. Bunyi ketukan bertalu-talu yang sangat kuat entah dari mana. Cuba mengamati bunyi tersebut. Ohh…loceng kecemasan. Rumet tiada di bilik. Dalam keadaan panic versi mamai aku pakai tudung, sweater dan sarungkan selipar tandas..aku rasa hanya aku sahaja yang tertinggal. Segera aku berlari ke tangga dan dengan gigihnya menuruni tangga dari tingkat lapan. Sampai tingkat bawah, aku lihat pak guard sekalian sedang sengeh memandang. Aaahhhhhhhhhh….latihan kebakaran jer di tengah malam bulan ramadhan ni… berhimpunlah seluruh penghuni tekun kat tepi palang tu, beramai-ramai. Terpaksa aku menyorok kat dalam himpunan pelajar tu, sebab cameraman ada dua dan sibuk ambil banyak gambar..huhu..rasa nak baling cameraman tu dengan selipar tandas aku.. Aku cuma takut nanti, ketika kebakaran betul-betul berlaku, aku menyangka ia latihan juga, dan aku tidak berlari seperti hari ini, seperti kisah seorang budak pengembala kambing yang menipu orang kampung kononnya kambingnya dimakan harimau…dan akhirnya ketika ia benar-benar berlaku, tiada yang datang menolong…

Mahu pulang

Seminggu lagi aku akan terbang pulang. Lama pula rasanya menanti seminggu berlalu. Raya tahun ini, aku balik dengan duit sendiri. Masukkan duit dalam kad sendiri, pergi on line beli tiket sendiri, dan dapatkan no flight sendiri, tidak seperti selalu aku hanya menyua ic kepada pramugari sejam sebelum terbang kerana semua urusan tiket sudah diselesaikan. Aku pernah tidak balik hari raya, sekali dalam hidupku. Ketika di tahun satu. Aku tidak pasti juga mengapa tindakan sebegitu yang aku ambil ketika itu. Apa yang pasti, aku tidak akan mengulanginya lagi.

Hari raya memang tidak semeriah sewaktu kecil-kecil dulu. Walau pun tidak meriah, pulang dihari raya sangat bermakna, paling tidak pun buat ibu ayah tercinta. Setiap tahun dua tiga hari sebelum balik, mak sudah call hampir setiap hari. Cerita pasal langsir raya, baju raya, kuih raya dan segala persiapan tentang raya.

"langsir nanti, za gantung ye"

'baju raya nanti za seterika ye,"

"kuih raya, mak tak nak campur tangan tahun ni, za buat ye"

"nanti za sampai baru kemas rumah ye"

itulah ayat mak setiap tahun sejak kakak kahwin lima tahun yang lepas. Belum buat, dengar arahan tu je dah rase macam nak pengsan…

Belum lagi pesanan dari adik, kak,

"adik nak baju raya, tudung raya dan kasut raya sama macam akak…"

"nanti kakak balik tolong bawak ni, tu, yang ni, yang tu.."

dan arahan paling seksa untuk diterima, "kak nanti kita jalan raye same-same ek…"

huhu, mustahillah aku nak jalan raye pusing kampung dengan budak-budak sembilan tahun..kak ros pun tak buat..

Selalunya keletihan tidak terhingga itu akan aku pamerkan dengan perasaan teruja menyambut raya. betapa lebar senyum seorang ibu, ketika baju yang dijahit aku puji setinggi gunung. Betapa suka perasaan ayah, ketika pelita yang dipacak menjadi tempat bermain bunga api. Ketika sibuk tanganya mengecat rumah, aku tanya dengan soalan-soalan pelbagai, teman ayah bersembang.

Kerana itu aku sentiasa mahu pulang berhari raya, bukan tentang bagaimana aku hendak bergembira, tapi tentang begaimana aku sedaya upaya cuba menggembirakan kedua orang tua. Selagi kesempatan berbakti masih ada, kerana aku khuatir aku pergi dahulu dan tidak sempat membalas jasa, atau mereka yang meninggalkanku terlebih dahulu sehingga aku tidak sempat berbakti untuk mereka.


Ya Rabbi Ya Rabb

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku

Tuhanku maafkanlah kejahilan hambamu

Kusering melanggar laranganMu

Dalam sedar atau pun tidak

Ku sering meninggalkan suruhanMu

Walau sedar aku milikMu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku

Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Bilakah diri ini akan kembali kepada fitrah sebenar

Pagi ku ingat petangku alpa

Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku

Kau pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu

Aku lemah, aku jahil

Tanpa pimpinan dariMu

Kusering berjanji depanMu

Sering jua ku memungkiri

Ku pernah menangis keranaMu

Kemudian ketawa semula

Kau pengasih, Kau penyayang Kau pengampun

Kepada hamba-hambaMu

Selangkahku kepadaMu

Seribu langkah Kau padaku

Tuhan, diri ini tidak layak ke syrugaMu

Tapi, tidak pula aku sanggup ke nerakaMu

Kutakut kepadaMu

Kuharap jua padaMu

Moga ku kan selamat dunia akhirat

Seperti rasul dan sahabat

Semua

Jangan ditanya aku mahu berlari kemana

Jangan dijejaki kemana langkahku ingin pergi

Jangan dikejar jangan diiringi

Jangan sesekali

Semua

Aku sudah jemu disini

Menadah sekeping hati dengan sebilah belati

Hanya menanti saat untuk dirobek sesuka hati

Dan bila sudah jemu, kalian melangkah pergi…

Semua,

Jangan sesekali memanggil aku lagi

Jangan datang untuk menyakiti

Jangan selalu rasa hanya kamu yang punya hati

Sedang aku juga seorang insani

Semua,

Jangan meminta lagi

Tatkala aku hendak memberi atau aku ingin menerima,

Sengsaranya aku juga yang merasa…

Sedang kamu hanya terus berkata, peritnya merawat luka

Semua,

Cukuplah, jangan buat aku menangis lagi

Pergilah semua, aku ingin menyendiri…

Pergilah, jangan sampai cintaku bertukar benci…

Pergilah semua sekali.