Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Membawa sepemeluk penuh rahmat dan kasih sayang Allah yang akan melimpah ke atas hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan ibadah dan amal jariah. Ramadhan bulan rahmat dan berkat yang Allah jadikan buat hamba-hambanya. Inilah bulan ibadah. Setiap amalan ibadah yang dikerjakan pada bulan ini akan dibalas berlipat kali ganda. Pahala mengerjakan amalan sunat seperti mengerjakan amalan wajib. Pintu-pintu neraka ditutup, pintu-pintu syurga dibuka luas. Disyariatkan amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita seperti mana diwajibkan ke atas golongan terdahulu, dengan tujuan agar kita bertakwa kepada Allah swt. Disunatkan solat terawikh pada malam harinya agar bertambah ganjaran pahala, yang mana solat sunat terawikh tidak akan terdapat dalam bulan-bulan yang lain.

Buat kita seorang hamba…

Ramadan seharusnya menjadi ruang taubat menghapuskan dosa. Berjihad melawan nafsu, bukan sekadar nafsu makan dan minum sahaja. Malah nafsu amarah, pemalas, ego, bongkak dan sebagainya. Didiklah hati yang telah dikotori sebelas bulan sebelumnya agar kembali putih dijalan yang Esa. Kerjakanlah amalan sunat buat bekal ke akhirat. Tadabburlah kitab suci buat bekalan mati. hulurkanlah sedekah buat penambah ibadah. Ramadhan satu-satunya bulan yang punya kerahmatan luar biasa. Jangan bertangguh lagi, Ramadhan akan datang belum tentu lagi kita masih dapat menikmati.

Tapi sayangnya…

erti Ramadhan sudah ditafsir dengan skema pelbagai. Ramadhan menjadi bulan alasan mengurangkan produktiviti dek keletihan tidak bertenaga. Ramadhan yang sepatutnya bulan kerehatan untuk sistem penghadaman dikerah bekerja lebih keras daripada biasa bila diisi dengan banyak dan pelbagai menu berbuka. Kekenyangan dan rasa mengantuk melenyapkan kekuatan untuk berdiri lapan rakaat dengan alasan ia cuma amalan sunat. Memang tidak berdosa meninggalkannya, kerana ia amalan orang-orang yang mengharapkan taqwa, tapi apa makna ramadhan tanpanya. Waktu-waktu senggang untuk tadabbur quran disibukkan dengan membuat biskut dan kuih raya berbalang-balang.

Tidak salah…

berbelanja di bazaar tapi janganlah sampai menggantikan syaitan yang sedang dirantai. Tidak mengapa menyibukkan diri menjahit langsir dan baju raya, memenuhkan bekas kuih dan balang kaca asalkan ia tidak mencemarkan barakah Ramadhan yang Allah kirimkan. Asalkan tidak melenyapkan maksud dan intipati sebenar Ramadhan itu Allah ciptakan untuk kita, hambaNya. Jangan ramadhan ini hanya bermaksud berlapar dahaga di siang hari sementara menunggu masa mencekik di malamnya nanti.

..dan aku

Menitipkan pesanan ini khas buat diriku sendiri yang masih ralat di hati kerana gagal meraikan awal Ramadhan ini seperti yang Nabi kehendaki. Semoga dikurniakan kekuatan mengutip barakah-barakah Ramadhan sementara ia masih lagi belum pergi… “andai ini ramadhan terakhir buatku, kuharap ia kan menjadi pembelaku di akhirat nanti”

Ini keluhan atau luahan....

Sejak pertama kali berniat dan berazam menjadi seorang pendidik, saya mengerti bahawa tugas itu tidak semudah namanya. Beban dan tanggungjawabnya hanya difahami oleh mereka dari golongan yang sama. Amanah yang berat, cabaran yang besar. Selalu malah saya sudah hadam sangat pesanan agar seorang cikgu jangan hanya mengajar tulis baca, tapi didiklah anak murid mengenal dunia, merintis jalan meniti kehidupan, ajarkan perbuatan, lenturkan pemikiran, didikkan perasaan dan tiupkan perjuangan menjadi makhluk bernama insan.

Saya tahu itu sukar..sukar tidak tergambar.

Lebih sukar bila bergelar guru zaman ini. Zaman yang sudah terlalu jauh dari asas membentuk ketamadunan iaitu moral. Zaman yang serba material. Zaman manusia bangga menimbulkan persoalan tanpa jawapan. Zaman berpusatkan sendiri, zaman nafsi-nafsi. Zaman serba senang serba lantang. Zaman mengaku bangun tapi lena dalam kebodohan, kerakusan, ketamakan. Zaman manusia semakin lupa hidup bertuhan. Zaman logic mengatasi iman. Zaman wahan.

Perbuatan kurang ajar sudah menjadi perkara biasa-biasa. Dulu guru diletak tinggi darjatnya, kini guru jangan berani lebih daripada biasa. Sedikit guru bertindak, seluruh negara mencaci mencerca. Sedangkan yang mencaci cerca itu tidak tahu rotan bukan lagi ketakutan kepada pelajar, gantung sekolah adalah cuti yang dinanti, buang sekolah adalah alasan yang ditunggu untuk tidak lagi ke sekolah, apa lagi senjata yang hendak digunakan untuk mendidik pelajar? Bila guru lepas tangan, masuk kelas hanya menghabiskan sukatan, lalu guru dilabel makan gaji buta.

Serba salah..tersepit antara amanah, usaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan persekitaran mental yang sangat parah.


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu
Blog ini tetap sama wujudnya, Tetap disini untuk menakung sebahagian melodi hatiku. Ia masih ada, setia tersenyum dan menadah pada wajah yang selalu menatapnya.

Hatiku tetap sama kandungnya. Terbalut oleh selaput nipis yang terlalu mudah tercalar. Rimas untuk dijaga, sukar benar dipelihara. Dalam sujud aku kerdil meminta, teguhknlah hati ini pada jalanNya, kuatkan iman ini hanya berpaut pada taliNya, semoga hati ini ampuh merncari taqwa padaNya, semoga hati ini kuat tabah menempuh ujian dariNya.

Mataku tetap sama.Tetap laksana kolam penuh yang sangat mudah menumpahkan tadahannya.Tidak pernah berubah setelah sekian lama. Satu-satunya wadah menzahir rasa. Sedih atau gembira, lara atau bahagia.

Penantian dan perjalanan juga tetap sama, mengharungi liku hidup melaksanakan sekalian amanah yang masih ada, membayar segenap hutang harta, masa, tenaga dan rasa. Mengharap segalanya terbayar sebelum lena menutup mata. Menantikan hujung nyawa mengakhiri kehidupan dunia. Semoga matiku adalah kerehatan untuk ku..amin.
Hubby tiada dirumah. Balik Kuching sebab esok hubby ada interview kat UiTM Samarahan. Jadi saya duduk sorang-sorang dirumah.

Saya risau, sebab hubby sebenarnya tidak sihat untuk drive jauh sorang-sorang. Malam semalam, kaki hubby tiba-tiba sakit, bengkak dan tak dapat berjalan. Hubby terjaga pukul 3 pagi mengadu kakinya sakit. Siangnya, saya ke sekolah awal pagi, selepas selesai kelas 2 waktu, saya bergegas hantar hubby ke klinik. Tinggalkan hubby disitu dan kembali ke sekolah untuk kelas yang seterusnya. Selesai kelas yang kedua saya datang semula ke klinik dan hantar hubby balik rumah. Kembai kesekolah dan sambung mengajar kels yang terakhir. Dua kelas yang pertama saya buat eksperimen berama pelajar, kelas terakhir, saya sudah kepenatan, saya hanya biarkan pelajar menyalin nota. Kesian mereka.

Nasib baik Izzah si Alza putih itu automatic. Boleh lah saya pandu ke sana-sini. Dapatlah saya tolong bawa hubby kesana sini walau pun belum berlesen lagi. darurat..hehe..

Alkisah nak dijadikan cerita, hari sebelum kaki hubby sakit, Imran si Myvi dilanggar lari, side mirror patah. Bila kedai spare part call untuk pasangkan side mirrow petang tu, terpaksa hubby merelakan saya drive Imran dengan hubby duduk disebelah. Hehe..kesian hubby dah lah mengerang kesakitan bila lalu jalan yang tidak rata, kereta pulak kena hentam dengan isteri..berapakali kereta tu mati-mati tengah jalan..hahaha..

Malamnya, bawa hubby pergi berurut, kesian tengok hubby kesakitan. Balik dari berurut, dah lewat, sempat iron baju jer sedangkan esoknya (hari ini) saya ada interview pengesahan jawatan. wow..maka dengan tidak studynya saya bertawakal.

Datang paling awal dekat tempat interview, lepas mendaftar baru perasan ada satu lagi dokumen yang tidak disediakan. Bergegas balik sekolah dan print pengesahan iktiraf ijazah. Nasib baik sekolah dengan tempat interview tu lima minit sahaja. Oh..momentum dan semangat dah lari..tapi tak apa, tawakal jer..

Bila sesi interview, wow, ada sorang tu macam hafal skrip. Fakta vouge. Huhu. Rasa down sekejap. Tapi alhamdulillah, semua soalan yang ditanya kepada saya, boleh dijawab. (Semua guna fakta yang dipelajari masa debat dulu)

Balik saja dirumah saya tidur..beberapa hari yang meletihkan..kemudian kemaskan barang-barang untuk hubby bawak pergi interview. Semoga interview hubby juga berjalan lancar. Semog hubby selamat pergi dan kembali disisi isterinya yang kerinduan ini..hehehe..
Assalamualaikum...

Saya masih sayangkan blog ini. Walau pun hubby dah buatkan facebook untuk saya. Rasa blogging tetap paling menggembirakan. Ini ruang saya mencoret sepanjang-panjang yang saya mahu. Hehe.Cuma, lama ruang ini tidak berisi dek kesibukan dengan "kenaikan pangkat" saya (",) . Sekarang boleh panggil saya Puan kerana saya telah selamat diijabkabulkan dengan suami tercinta Muhamad Izhar bin Salim pada 1 Jun 2011.
Hari ini, genap 17 hari saya menjadi seorang isteri. Semoga Allah memberi kekuatan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah. Saya cintakan suami saya, oh begini rasanya cinta, pagi-pagi selepas masing-masing pergi kerja, sampai sahaja di sekolah, saya sudah rasa rindu padanya. Semoga cinta semanis ini kekal mewarnai rumahtangga kami selama-lamanya...Amin.
Saya risau. Hati saya semakin parah. Terlalu mudah saya hilang pertimbangan. Terlalu mudah saya menurut perasaan. Rasa sayang pada diri kekadang terlupa untuk diangkat tinggi. Hilang kawalan mengharungi tekanan. Hilang jiwa menghargai kehidupan. Hilang rasa menikmati perjalanan.

Sabar saya semakin menipis. Tangis saya semakin buruk untuk didengari. Terdetik rasa malu pada diri, memiliki hati serapuh ini. Malu saya sujud menghadap Ilahi. Saya terasa bodoh berakhlak dengan emosi. Saya terasa hina bila berputus asa dengan rahmat Ilahi. Saya ini parah, perlu diselamatkan segera.

Selamatkan saya. Selamatkan saya. Selamatkan saya.

Saya takut ajal tiba dulu sebelu saya berjaya memperbaiki keburukan-keburukan diri.

Astaghfirullahalazim..ampun yaAllah.