Kelas Kompang

Aku mesti ambil ko-k sem ni, kalau tak, tak graduasi. Kelas ko-k ni boleh diganti dengan paper opsyen sebenarnya, jadi aku pilih subjek Sejarah dan Falsafah Sains. Tapi, hari pertama kelas ada tiga orang sahaja pelajar mendaftar, dan kami disuruh menukar subjek kerana kelas hanya boleh diwujudkan jika pelajarnya tidak kurang dari lima orang. Haha.. aku pun memohon untuk kelas ko-k, ada tiga kekosongan sahaja yang tinggal. Kelas renang, teater moden, kompang berlagu. Kelas renang? Err..tak mungkin kot. Kelas teater moden, abang azhar kata, masuk kelas ni tak boleh pakai sarung kaki, jadi pilihan ni juga out. Kompang berlagu, haha..tiada pilihan lain. Jadi, hadir lah aku ke kelas kompang ni setiap hari khamis dan isnin. Setakat ni aku dah belajar berkompang dua buah lagu..ni lagunya..:)

Suriram..

Suriram ram…suriram ram

Suriram yang manis

Aduhai suriram sayang

Wajah yang cantik dipandang manis…

(part ni aku senyum sorang-sorang sebab rasa nak kata, ‘kalau tak cantik, tak manis dipandanglah ek..haha’)

(L)

Dualah tiga kucing berlari…suriram

Manakan sama si kucing belang …suriram

Dualah tiga boleh ku cari…sayang

Manakan sama adik seorang.

(P)

Dikiri jalan, kanan pun jalan…suriram

Tengahlah tengah pohon mengkudu…suriram

Kirim pun jangan pesan pun jangan …abang

Samalah sama menanggung rindu.

(L)

Api-apilah ditepi pantai…suriram

Nibong terlentang dihujung keling…suriram

Hajat dihati jikalau sampai…sayang

Bunga ditaman ingin disunting.

(P)

Batanglah padi, batanglah pinang…suriram

Pohonlah lada buahnya jarang..suriram

Kalaulah sudi lekaslah pinang… abang

Sebelum adik diambil orang

(L)

Tinggilah tinggi simata hari…suriram

Anak kerbau mati tertambat…suriram

Sudahlah lama abang mencari…sayang

Barulah kini abang mendapat.

(P)

Pucuklah pauh delima batu…suriram

Anak sembilang ditapak tangan…suriram

Walau pun jauh beribu batu …abang

Hilang dimata dihati jangan.

(L)

Asaplah api embun berderai…suriram

Patahlah galah haluan perahu…suriram

Niat dihati tak mahu bercerai …sayang

Kuasa Allah siapa tahu.

Suriram..ram..suriram..ram

Suriram yang manis

Aduhai suriram sayang

Wajah yang cantik dipandang manis..

Best tak? Haha..


Esok nak balik

Kegembiraan untuk pulang berhari raya sedikit dikaburi oleh Imtinan yang jatuh sakit tiba-tiba. Sakitnya kali ini paling parah. Bukan hatinya yang sedang tenat, tapi jasadnya seperti sudah tidak mampu lagi berkhidmat. Terlalu sayang untuk menggantikan Imtinan. Imtinan teman paling setia, tempat menumpahkan segala lara dijiwa, tempat mengubat rindu mengenang cerita suka, tempat meluah rasa menyimpan rahsia. Bertahanlah Imtinan untuk sedikit waktu lagi…


Ramadhan yang sudah dipenghujung

Dalam kegembiraan hendak menyambut syawal bersama insan-insan tersayang, terasa dahaga mencari sakinah dalam Ramdhan masih belum hilang. Tidak puas menghirup madu ibadah yang berlipat ganda ganjarannya. Masih belum kejap memeluk ramadhan dengan rangkulan paling erat. Masih ada culas yang sukar dipancung oleh pedang mujahadah, agar sujud lebih panjang. Masih ada hijab yang menghalang airmata lebih basah. Kalaulah ini Ramadhan yang terakhir, alangkah ruginya aku kerana tidak mengutip sebanyak-banyak rahmatNya, mengaut sepenuh-penuh maghfirahNya, menjauhkan diri dari neraka, menjejaki jalan kesyurga, mengintai malam al-qadar. Semoga baki malam-malam terakhir ini, ada kekuatan untuk menjadikan Ramadhan ini bekalan yang boleh membelaku di akhirat nanti..amin.


Hanya

Tiada aisya, tiada maria kerana tidak pernah ada ayat-ayat cinta dan fahamilah, aku hanya zakia.


Salam Kemaafan

Bagi setiap dosa yang telah kau lakukan…

Setiap kata-kata yang menyakitkan…

Setiap kekasaran dalam perbuatan…

Setiap luka yang kau berikan…

Setiap harapan yang aku hancurkan…

Setiap permintaan yang sangat membebankan…

Aku mohon keampunan.

Bagi setiap derita yang sangat menyeksa..

Bagi sengsara yang menghiris jiwa..

Bagi kesakitan yang menagih airmata..

Aku rayu dimaafkan segalanya

Dihalalkan semuanya..

Kerana aku hanya zakiyya yang selalu terlupa.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Dibawah bulan bintang

Baru pulang dari mencari ketenangan. Meninggalkan sebentar bumi Minden untuk ke raudhah kasih sayang. Merawat hati yang kusam. Betapa terasa kerdilnya seorang hamba ketika sujud diatas bumi berbumbungkan langit, di bawah cahaya bulan dan kerlip bebintang. Menadah telapak tangan merayu keampunan dari Tuhan. Tidak tertanggung rasanya diri ini dengan dosa yang menghijab kalbu dari cinta Ilahi. Semoga dalam barakah Ramadhan, sakinah ini berkekalan.

Kambingku dimakan harimau

Sampai sahaja di bilik, baru terasa keletihannya. Selesai berbuka dan solat, aku terlelap dalam balutan telekung. Mengantuk sangat. Ketika jam 1 pagi aku tersedar oleh bunyi bising. Panik. Bunyi ketukan bertalu-talu yang sangat kuat entah dari mana. Cuba mengamati bunyi tersebut. Ohh…loceng kecemasan. Rumet tiada di bilik. Dalam keadaan panic versi mamai aku pakai tudung, sweater dan sarungkan selipar tandas..aku rasa hanya aku sahaja yang tertinggal. Segera aku berlari ke tangga dan dengan gigihnya menuruni tangga dari tingkat lapan. Sampai tingkat bawah, aku lihat pak guard sekalian sedang sengeh memandang. Aaahhhhhhhhhh….latihan kebakaran jer di tengah malam bulan ramadhan ni… berhimpunlah seluruh penghuni tekun kat tepi palang tu, beramai-ramai. Terpaksa aku menyorok kat dalam himpunan pelajar tu, sebab cameraman ada dua dan sibuk ambil banyak gambar..huhu..rasa nak baling cameraman tu dengan selipar tandas aku.. Aku cuma takut nanti, ketika kebakaran betul-betul berlaku, aku menyangka ia latihan juga, dan aku tidak berlari seperti hari ini, seperti kisah seorang budak pengembala kambing yang menipu orang kampung kononnya kambingnya dimakan harimau…dan akhirnya ketika ia benar-benar berlaku, tiada yang datang menolong…

Mahu pulang

Seminggu lagi aku akan terbang pulang. Lama pula rasanya menanti seminggu berlalu. Raya tahun ini, aku balik dengan duit sendiri. Masukkan duit dalam kad sendiri, pergi on line beli tiket sendiri, dan dapatkan no flight sendiri, tidak seperti selalu aku hanya menyua ic kepada pramugari sejam sebelum terbang kerana semua urusan tiket sudah diselesaikan. Aku pernah tidak balik hari raya, sekali dalam hidupku. Ketika di tahun satu. Aku tidak pasti juga mengapa tindakan sebegitu yang aku ambil ketika itu. Apa yang pasti, aku tidak akan mengulanginya lagi.

Hari raya memang tidak semeriah sewaktu kecil-kecil dulu. Walau pun tidak meriah, pulang dihari raya sangat bermakna, paling tidak pun buat ibu ayah tercinta. Setiap tahun dua tiga hari sebelum balik, mak sudah call hampir setiap hari. Cerita pasal langsir raya, baju raya, kuih raya dan segala persiapan tentang raya.

"langsir nanti, za gantung ye"

'baju raya nanti za seterika ye,"

"kuih raya, mak tak nak campur tangan tahun ni, za buat ye"

"nanti za sampai baru kemas rumah ye"

itulah ayat mak setiap tahun sejak kakak kahwin lima tahun yang lepas. Belum buat, dengar arahan tu je dah rase macam nak pengsan…

Belum lagi pesanan dari adik, kak,

"adik nak baju raya, tudung raya dan kasut raya sama macam akak…"

"nanti kakak balik tolong bawak ni, tu, yang ni, yang tu.."

dan arahan paling seksa untuk diterima, "kak nanti kita jalan raye same-same ek…"

huhu, mustahillah aku nak jalan raye pusing kampung dengan budak-budak sembilan tahun..kak ros pun tak buat..

Selalunya keletihan tidak terhingga itu akan aku pamerkan dengan perasaan teruja menyambut raya. betapa lebar senyum seorang ibu, ketika baju yang dijahit aku puji setinggi gunung. Betapa suka perasaan ayah, ketika pelita yang dipacak menjadi tempat bermain bunga api. Ketika sibuk tanganya mengecat rumah, aku tanya dengan soalan-soalan pelbagai, teman ayah bersembang.

Kerana itu aku sentiasa mahu pulang berhari raya, bukan tentang bagaimana aku hendak bergembira, tapi tentang begaimana aku sedaya upaya cuba menggembirakan kedua orang tua. Selagi kesempatan berbakti masih ada, kerana aku khuatir aku pergi dahulu dan tidak sempat membalas jasa, atau mereka yang meninggalkanku terlebih dahulu sehingga aku tidak sempat berbakti untuk mereka.


Ya Rabbi Ya Rabb

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku

Tuhanku maafkanlah kejahilan hambamu

Kusering melanggar laranganMu

Dalam sedar atau pun tidak

Ku sering meninggalkan suruhanMu

Walau sedar aku milikMu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku

Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Bilakah diri ini akan kembali kepada fitrah sebenar

Pagi ku ingat petangku alpa

Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku

Kau pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu

Aku lemah, aku jahil

Tanpa pimpinan dariMu

Kusering berjanji depanMu

Sering jua ku memungkiri

Ku pernah menangis keranaMu

Kemudian ketawa semula

Kau pengasih, Kau penyayang Kau pengampun

Kepada hamba-hambaMu

Selangkahku kepadaMu

Seribu langkah Kau padaku

Tuhan, diri ini tidak layak ke syrugaMu

Tapi, tidak pula aku sanggup ke nerakaMu

Kutakut kepadaMu

Kuharap jua padaMu

Moga ku kan selamat dunia akhirat

Seperti rasul dan sahabat

Semua

Jangan ditanya aku mahu berlari kemana

Jangan dijejaki kemana langkahku ingin pergi

Jangan dikejar jangan diiringi

Jangan sesekali

Semua

Aku sudah jemu disini

Menadah sekeping hati dengan sebilah belati

Hanya menanti saat untuk dirobek sesuka hati

Dan bila sudah jemu, kalian melangkah pergi…

Semua,

Jangan sesekali memanggil aku lagi

Jangan datang untuk menyakiti

Jangan selalu rasa hanya kamu yang punya hati

Sedang aku juga seorang insani

Semua,

Jangan meminta lagi

Tatkala aku hendak memberi atau aku ingin menerima,

Sengsaranya aku juga yang merasa…

Sedang kamu hanya terus berkata, peritnya merawat luka

Semua,

Cukuplah, jangan buat aku menangis lagi

Pergilah semua, aku ingin menyendiri…

Pergilah, jangan sampai cintaku bertukar benci…

Pergilah semua sekali.

-saya ada ceritera hati yang hendak disampaikan-
-saya ada kerisauan yang mencengkam-
-saya ada irama yang hendak ditarikan-
-saya ada kata-kata yang hendak dilafazkan-
-saya ada rindu yang tertahan-
-saya ada resah yang rencam-
-saya ada sayang yang tersimpan-
-saya ada kepercayaan ingin dikhabarkan-
-saya ada penantian yang panjang-

tapi saya tidak dapat melakukan apa-apa melainkan hanya menunggu dan mengharapkan keteguhan sekeping hati yang berjuang

Saya seperti sangat mahu pulang dan tidak mahu lagi datang. Saya ingin sekali pergi, tanpa mahu lagi kembali. Kerana saya amat kecewa ruang kedua yang dipersia...

Kita saling dipertemukan oleh asbab yang sama. Tidak pernah kita menyangka akan terlontar ke dalam kemelut yang serupa. Hingga akhirnya kita terpaksa mangaku dewasa dan menerima kehendak dan tuntutan hidup yang meminta.


Kita juga punya matlamat yang seia. Mahu memperbaiki hidup menjadi insan mulia. Kita mencari teman yang boleh disandarkan. Tapi sayang kitaran itu hanya antara kita. Kita tidak bisa melepaskan kerana kita amat memerlukan, dan kita tidak mampu melepaskan kerana kita diperlukan.


Betapa kita terpaksa akur bahawa kita tidak pernah meminta ini semua. Tetapi siapalah kita untuk menolak ketentuan takdir yang telah terlakar sejak sekian lama. Kita hanya manusia yang daif dan kerdil selaku hamba. Hari ini kita tegar berkata, esok kita tidak tahu bagaimana…


Telah banyak air mata kita tumpah kerana kudrat kita lemah. Sudah banyak kali kita lepas berserah kerana hanya mampu untuk pasrah. Jalan keluarnya tetap belum kita jumpa. Jawapannya masih lagi belum nyata. Dan kita hanya mencuba untuk terus bertahan, teguh pada apa yang kita percayakan.


Teman, percayalah bahawa Tuhan sedang menguji kita. Kita sedang diajar tantang sabar dan tentang redha. Tuhan ingin kita mencari apa sebenarnya makna Cinta. Tuhan ingin kita tahu bahawa dunia ini bukan kita yang punya. Tuhan mahu kita sedar bahawa syurga itu terlalu mahal harganya. Dan Tuhan turunkan resah dan derita ini, kerana Tuhan sayangkan kita dan mahukan kita mendapat segala yang terbaik dalam hidup.


Pesanan buat kita yang aku terima digerbang Ramadhan mulia… “za..pertemuan hati adam dan hawa akan berlaku sekiranya masing2 mencintai Tuhan. Kalau salah seorang daripadanya tersimpang, maka secara automatiknya dia akan tersingkir dengan sendirinya” pesanan yang menenangkan.

Jadikanlah Ramadhan ini, madrasah untuk kita meneliti. Apakah benar kita hidup untuk Tuhan atau sekadar mendambakan insan…Nauzubillahhiminzalik..

Sepi yang melewati

Selalu menarik akal pada kenangan

Menangislah hati menyesali

Kisah lampau yang tak kan terulang

Kini masa sudah tiba

Memetik buah janji yang disemai dulu

Tapi pohonnya sudah tiada, sudah tiada.


Ketika bintang datang membawa senyuman

Bintang bisikkan pada awan,

Nun dibumi, ada pungguk rindukan bulan

Saat bintang makin indah dipandangan

Dan purnama senyum dengan harapan

Awan pula datang mencurahkan hujan

Bersama ribut dan taufan

Membasahkan aku yang ingin pulang


Selamatkan aku

Dari malam yang kelam

Tanpa bintang, tanpa bulan

Selamatkan aku dari menggigil kesejukan

Dalam hujan ribut taufan

Selamatkan aku dari menoleh kebelakang

Menggali kubur kelukaan

Selamatkan aku

Agar terus kental dalam perjuangan

Selamatkan aku

Dari kemurkaan Tuhan

Selamatkan aku dari hidup menduga iman


Selamatkan aku, selamatkan aku

Agar boleh ku carikan cinta untukmu