Ada seorang gadis
Termenung dijendela
Melayani hatinya
Yang telah terluka
Oleh kata-kata lidah manusia

Deraian air mata membasahi pipinya
Lemah dia mengharap ketenangan jiwanya
Serta kesabaran menghadapi dunia yang fana

Aku datang dan menyapa
Kusapu airmatanya
Ku usap lembut rambutnya
Kudakap erat dia
Aku bertanya dan dia bercerita.

Akhirnya dalam gerbang ramadhan
Dia sapu airmatanya sendiri
Dia hendak bangun, tidak peduli
Dia tidak mahu menangis lagi
untuk meratapi kekurangan diri
Dia tidak akan kisah jiwanya hilang
Yang penting dia tidak mahu lagi jadi insan menjengkelkan
Dia bukan merajuk, kerana dia yakin tiada sesiapa yang akan memujuk
Dia hanya mahu mencari harga diri yang lebih tinggi
Yang tidak diperlekeh sesuka hati
Walau dia bukan puteri, dia juga seorang manusia yang punya hati
Andai dunia tidak mahu tahu dia punya jiwa,
Biar jiwa itu pergi, dia tidak akan cari


Kugenggam tangannya erat
Kutatap wajahnya yang dibasahi airmata
Kupujuk hatinya dengan kata-kata
Agar ada sedikit kekuatan untuknya mendepani derita
Kubisik ditelinganya…
Jangan bazirkan airmata ini buat manusia yang tidak pernah menghargai
Sebaliknya, kuatkan hati agar air matamu bernilai tinggi
Carilah jiwamu kembali, kerana ia milikmu
Jangan kerana manusia tidak mahu mengerti, kau biar jiwamu pergi
Ukirlah sebuah senyuman, tanda segenggam ketabahan
Sungguh dunia akan ketawa pada airmata kelemahan

Dia geleng kepala
Bersama air mata yang masih ada
Katanya dia sudah muak untuk terluka
Sudah tiada ruang lagi dihatinya
Untuk dihiris-hiris oleh lidah manusia
Dia tahu dia bukan insan mulia
Tapi janganlah kekurangannya dihina
Dia tidak minta dipuja
Cukuplah sekadar manis bicara

Aku tarik nafas panjang
Dan kuhembuskan perlahan
Sedih benar hati seorang gadis ini
Mungkin sudah terlalu banyak luka dihati
Sehingga sekeping hati itu sudah kering tidak bernadi
Dan air mata sudah enggan menjadi saksi
Tak kan ku tinggalkan dia sendiri
Kudakap dia lagi lebih erat kali ini
Kuhadiahkan kucupan didahi
Aku mahu dia mengerti
Bahawa dia tidak sendiri
Kali ini aku hanya berkata; menangislah semahumu

Bagai arahan yang dipatuhi
Dia benar-benar menangisi
Menghamburkan segala luka
Melepaskan semua rasa
Bagai kesal dengan hidupnya
Hingga akhirnya esakan itu membawa dia lena

Aku hanya mampu berdoa
Agar tabah sekeping hatinya
Moga teguh iman didada
Mudah-mudahan dia sedar, bahawa Tuhan sedang mengujinya
Moga dia ketemu jalan ketenangan
Memanggil semula seorang gadis suci dari Mekah, untuk pulang.


0 kata kamu: