Tatkala kebosanan menghadap buku dan cuba meghadam kandungannya, hati ini dilanda resah yang datang tiba-tiba. Mungkin sebab ilmu kaji tumbuhan ini agak sukar dicerna. Lantas buku-buku itu ku tutup dan tangan segera menekan punat ‘On’ pada laptop tersayang.
Satu persatu laman web dibuka mencari pengisian untuk menyegarkan hati yang gundah ini. Seperti biasa, Saifulislam.Com dan Minda Mufti, laman web Dr M. Asri menjadi tempat persinggahan mata. Segala isi kandungannya dibaca agar dapat memberi tazkirah pada hati nan gundah.
Namun hati masih juga terasa gelisahnya. Lantas aku hentikan pembacaan. Menghela nafas panjang, duduk bersandar dan cuba menenangkan hati. Mungkin ada sesuatu yang perlu difikirkan. Satu-satu apa yang berlaku di hari-hari kebelakangan ini menerjah ruang ingatan. Kitar hidup di minggu peperiksaan ini sama sahaja setiap hari. Membaca dan membaca nota-nota yang dikumpul sepanjang semester untuk dihadam habis-habisan sebelum dimuntahkan di atas kertas peperiksaan. Cuaca yang agak panas juga menghalang niat ku untuk keluar kemana-mana. Waima ke café pun aku terpaksa kalau tidak dek perut yang lapar. Bukan itu semua yang datang membawa gundah dijiwa saat ini.
“Erti hidup pada memberi”, itu yang selalu ku baca dalam tulisan AbuSaif. Mungkin itu yang gersang di hari-hari kebelakangan ini. Budaya nafsi-nafsi yang mengundang gundah di hati. Tiada kesempatan untuk “memberi” dek kesibukan peperiksaan setiap mahasiswa universiti dalam taman ini. Sedikit-sedikit jawapan pada gundah hati ini, terjawab sendiri. Maka, kalau begitu, mungkin ziarah boleh menjadi penawarnya.
Erti hidup pada memberi, maka kuranglah erti hidup jika kurang memberi. Memberi bukan sekadar pada material semata. Tapi memberi biar dengan hati. Berkongsi nikmat hidup dan kebahagian yang ada. Pemberian yang telah diamanahkan adalah ilmu yang ada dalam jiwa. Biar ilmu sungguh cetek, tapi berikanlah jua pada sesiapa untuk dikongsi bersama. Ilmu paling mulia adalah yang bisa membawa manusia kembali pada Tuhannya. Maka, agar hidup ini bereti, memberilah, dan untuk memberi, perlu ada sesuatu yang hendak diberi, jadi carilah. Sedikit ketenangan menjalar dalam hati selepas muhasabah ini.
Separuh gelisah yang berbaki, kufikirkan nikmat dari Tuhan yang terlalu banyak. Adakah hati ini sudah bersyukur atau hati ini masih lagi kufur. Nau’zubillahhiminzalik. Ada sesuatu yang aku perlu nasihatkan pada hati, dan ingatkan pada diri. Bersyukurlah pada nikmat yang ada selagi Allah masih meminjamkannya padaku. Bersedialah untuk kehilangan nikmat-nikmat itu tatkala tiba saat dan waktu. Pagi ini Allah dekatkan lagi nikmatNya padaku. Tidak pasti berapa lama akan menjadi nikmat dari Tuhan. Atau sekadar persinggahan untuk ditukarkan kepada ujian bagi menguji kesabaran. Saat kehilangan nikmat itu pasti akan tiba, pasti! Cuma entah tidak tahu bila. Disaat akal ini masih lagi sihat, jiwa ini masih lagi beringat, semakin dekat nikmat itu datang semakin aku membina kekuatan menanti hari kehilangan. Agar aku masih boleh tersenyum walau dalam tangisan dan masih lagi bersyukur walau dalam ujian.
Dihujung tarian jemari, gundah ini hilang…subhanAllah!

1 kata kamu:

Sarjana Hati said...

i tersentuh dengan keadaan yg berlaku pada diri u

u sudah menyedari bahawa ketenangan bisa hadir saat kita 'memberi'

Dari sek men,i dididik ttg 4 budaya
budaya membaca,belajar,berfikir dan menyumbang...

4 budaya ini kata cikgu i,wajib ada dalam hidup agar kita merasai ertinya dari sudut yg lebih luas.

dlm setiap pertandingan,sebelum masuk gelanggang,i kena sucikan niat.

niat adalah utk menyampaikan ilmu.
menang kalah sOal 2.walau kalah,kami tetap menang kerna kami berjaya menyampai ilmu.

itu yg memberi erti dalam idup i