Dihujung-hujung zaman ini, perang sudah umpama agenda biasa yang pasti akan berlaku. Bukan setakat perang nyata yang sedang bergolak di atas bumi para anbia. Tapi perang itu melata di atas dunia. Perang dua bangsa, perang politik negara, perang budaya, jati diri, maruah dan harga manusia. Segalanya dalam medan perang yang mengerah keringat dan air mata.
Perang-perang itu nampak jelas dihadapan mata dan kita tiada pilihan melainkan menyerang atau bertahan. Itu perang yang jelas, yang payahnya berperang dimedan yang kita tidak sedari.
Pelik? Tidak. Dalam diri kita saat ini sedang berlaku peperangan di medan seketul daging yang menguasai badan. Jika baik daging itu, baiklah jasadnya, jika buruk daging itu, bahaya! Itulah hati, medan perang yang besar antara iman kebaikan dan nafsu kejahatan. Peperangan itu tidak pernah berhenti melainkan salah satu daripadanya menang dan berkuasa. Andai iman yang menang, selamatlah jasad dari menjadi bahan bakar. Andai nafsu bertahkta, bepestalah iblis durjana kerana dia punya teman ke neraka. Bukan mudah menyelamat iman dalam peperangan ini kerana syaitan telah berjanji mencari seberapa banyak konco ke jahanam. Dan kita pula tidak pernah ada jaminan bahawa akan selamat atau kecundang. Hanya satu jalan yang boleh membantu, kau serahkan seluruh jasad dan hatimu pada Tuhan yang Maha satu. Biar kau datang padaNya dengan dosa sepenuh langit dan bumi dan engkau memohon ampun, nescaya Dia mengampuni mu, kerana Dia Tuhan Maha Mulia, Pengasih dan Penyayang. Itulah jihad yang lebih besar dari peperangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 kata kamu:
Post a Comment