...penghujung kembara memaksa jemari ini untuk menari lagi...
Setahun sudah berlalu, kisah semalam dan hari ini tidak akan sama. Kembara diraja seperti juga kembara yang lalu, penuh makna dan palajaran hidup. Cuma kembara kali ini membawa bahagia yang lebih berbekas dihati.
Pelajaran pertama, aku teringat kata-kata ku sendiri sewaktu kembara cameron highland yang lalu. Tatkala teman-teman bersembang kenapa bunga-bunga yang sangat indah, kembang mekar harum cantik di puncak cameron highland, apabila dibawa ke bawah, akan hilang segala serinya, waima strawberry pun hilang manis bertukar masam. Aku menjawab tanpa berfikir panjang, ku katakan keindahan itu Allah ciptakan dan Allah letakkan indahnya disitu. Memang itu tempatnya. Ia indah disitu. Dan Allah selalu meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya, kerana Dia tahu dimana segala sesuatu itu selayaknya ditempatkan. Sewaktu melafazkan kata-kata itu, aku kurang fikir, hanya luahan bibir. Tapi kembara diraja, memberikan aku erti pada kata-kataku sendiri. Dipentas akhir aku menyaksikan sememangnya mereka layak disitu. Dan aku sememangnya berada ditempat yang telah Allah tetapkan untukku. Tiada kekesalan. Aku hanya layak melekat di benteng suku. Percayalah, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk engkau dan aku.
Pelajaran kedua, adil itu meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Bukan mudah berlaku adil. Sering kali kita menzalimi bila tidak meletakkan sesuatu itu pada haknya. Sukar untuk adil, namun lebih sukar tatkala dizalimi. Dizalimi oleh manusia yang menutup sebelah telinganya. Dinilai oleh manusia yang membutakan hatinya. Dihukum oleh manusia yang tidak pernah ada hak untuk memberi hukuman. Dilabel sebagai pesalah oleh insan yang berat sebelah. Dicerca oleh jiwa yang penuh dendam. Dimanipulasi oleh hati yang tidak mahu memaafkan. Menjadi mangsa kezaliman menuntut kesabaran yang bukan sedikit. Kadang-kadang menimbulkan kemarahan. Kesakitan hati yang bukan kepalang dek tidak pernah diberikan ruang membela diri atas sebuah kezaliman. Kezaliman watak manusia yang kononnya mahu kelihatan baik dihadapan manusia lain. Memang disaat menghadapi kezaliman ini aku derita. Kusimpan kemas, tidak kuzahirkan melalui kata-kata mahu pun air muka. Pilihan dua buat kita, pertemuan dan penyelesaian didunia atau pertemuan di mahsyar. Pelajaran kedua ini paling berguna, jangan mudah percaya!
Pelajaran ketiga, kata abang, kasih sayang itu ada pelbagai. Seribu satu jenisnya. Sehingga ada yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata. Tidak mampu dijelaskan dengan butir bicara. Sungguh hanya dengan keluarga debat ini aku merasai kasih sayang sedemikian rupa. Terima kasih, aku juga sayang pada kalian, dari lubuk hati yang paling dalam! Di hujung kembara kita, rindu sudah bermula…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 kata kamu:
Post a Comment