Selepas pulang dari perjalanan bersama isyqan yang sangat singkat ke kuala metropolitan, aku ingin kembali mencoret catatan dengan bahasa bulan atau awan. Bukan sekadar perkongsian kisah kehidupan seperti akhir-akhir ini. Biarpun ramai yang mengadu tidak faham, yang penting biar terus hanya jauhari yang mampu mengenal manikam. Walau pun ramai yang tidak dapat menghadam biarlah hanya bulan, bintang dan awan mengerti faham.

Satu
Aku sedang derita sakit rindu, pada seorang lelaki pujaan. Yang telah mencurah kasih tanpa alasan mahupun mengharap balasan. Mendakap hangat penuh kasih sayang. Mengajarkan aku bahasa bulan dan bintang. Dia tidak pernah marah mahupun keluh kesah. Dia cukup tabah dan selalu pasrah. Aku tidak tahu dari mana dia perolehi sekeping hati sesuci itu. Aku tidak pernah ada kata-kata yang mampu menceritakan murni kasihnya, biar pun dengan bahasa bulan atau awan. Dan saat ini, rindu padanya memuncak lagi disaat tayangan memori berulang membawa aku pada kenangannya. Dari kecil menyuapkan susu, menghayun buaian, bersama alunan zikir mendamaikan. Rindu yang aku tanggung sejak lapan tahun yang lalu. Biarpun rinduku luas bak laut biru, tinggi bagaikan kinabalu, berat umpama memikul batu, namun aku dan dia tidak akan dapat bertemu melerai rindu, kerana atuk sudah pergi dahulu menemui Tuhan yang satu, meninggalkan aku dengan airmata rindu yang tidak pernah kering, serta bahasa bulan bintang bekal mencari hidayah Tuhan.
Terima kasih kembara jalan bersama isyqan yang menghiburkan agar aku sedikit lupa pada derita sakit rindu yang selalu datang tatkala kesunyian. Juga terima kasih kerana cerita isyqan menyedarkan, bahawa derita rindu ini masih ada gunanya berbanding sakit kecewa yang tidak bermakna. Walau derita rinduku panjang, tapi aku tidak pernah dikecewakan.

Dua
Aku jua sedang rindu pada seorang gadis. Gadis suci dari Mekah. Kutakut kehilangannya, bukan kerana kutakut pada cemuhan manusia. Namun kutakut kehilangannya akan membawa pergi sekeping hati yang rindu ada Ilahi. Aku gusar, dia menjauh dan membawa lari kunci iman yang menjadi benteng untuk membezakan antara haq dan kebatilan. Aku sangat takut jika dia tiada, agama dan dunia kulihat sama. Aku begitu gentar pemergiannya akan mengaburkan mata untuk kupilih jalan syurga atau neraka. Perginya seorang gadis suci dari Mekah akan meninggalkan padaku sekeping hati yang resah dan gelisah. Aku akan hilang arah. Mungkin bisa jatuh rebah. Pasti membuatkan aku rindu bayang pada sekeping hati suci seraut wajah murni. Aku tidak sanggup mendepani. Apalah makna hidup dalam bahagia didunia tetapi akhirnya, hati penuh noda menghalang redha Tuhan disaat hujung kehidupan, penentu Firdaus atau Jahanam. Rinduku pada gadis ini sangat nyilu terasa dek sukarnya menepis cabaran dikiri dan kanan jalan. Rinduku pada gadis suci dari Mekah bukan berkaitan sesiapa, hanya muhasabah untuk aku dan zakiyya.

Tiga
Aku sedang berdiri dihadapan dua jalan. Dilema antara prinsip kehidupan yang aku bina berpuluh tahun untuk membentuk siapa aku dan juga nilai kemanusian yang menuntut aku berkorban sesuatu. Benarlah jalan kehidupan ini akan menemukan kita dengan banyak persimpangan yang perlu dipilih. Tidak semestinya jalan yang nampak indah dan mudah, cantik dan menjanjikan impian yang sempurna adalah keputusan yang terbaik untuk diputuskan. Dan tidak semestinya jalan penuh semak dan onak berserta duri serta janji yang tidak pasti adalah satu keputusan yang salah. Hidup, segalanya mungkin!
Aku juga sedang berperang dengan falsafah manusia yang tidak pernah faham dan peraturan Pencipta yang mesti dipertahankan. Aku sudah kehabisan kata-kata untuk bercerita kepada manusia dan falsafahnya agar faham akan jalan hidup ini. Aku sudah muak, mengiyakan falsafah benar yang aku tidak percaya. Setahun telah berlalu, dan aku terpaksa berdiri disimpang ini lagi...untuk semalam yang telah pergi, hari ini yang berbaki dan esok yang belum pasti.
Sepanjang pertemuan aku analogikan dengan sebuah perdebatan, semakin kita berjaya membuka konsep dan menggariskan kiblat perdebatan, semakin kita jauh dari titik pertikaian. Akhirnya, perdebatan menjadi pidato beramai-ramai. Aku suka penghujung yang ini dan aku sedang mengusahakan ianya terjadi..

Empat
Mudah-mudahan aku selau ingat pada mati yang semakin dekat. Janganlah matiku dalam kehinaan dan keaiban. Semoga penghujung hidupku terselamat dari kehancuran. Semoga disaat Izrail datang, aku sedang manis dalam iman. Husnul khatimah menjauhi Jahanam. Doakanlah penghujung yang baik buat kita semua…saya yang menulis dan awak yang membaca, serta isyqan dan yaya yang tidak bernyawa…

kalian tidak faham? Biarlah, hanya awan bulan dan bintang yang tersenyum manis atau menangis..bersama aku yang menulis

2 kata kamu:

Anonymous said...

memang bahasa bulan dan bintang sbb yg tau jer dpt phm situasi aka......apa2pun teruskan pejuangan ek.....walaupun ssh, psti ada senangnyer nnt.....slmat bermujahadah!!!!!!

Anonymous said...

akk,isyqan tu tgh kcwa ker?
yg pasti perjlnan dgn isyqan msti eppy kan...huhuhuhuhu...isyqan sllu de crita yg membuat kita tersnyum dan ketawa.