Dibawah bulan bintang

Baru pulang dari mencari ketenangan. Meninggalkan sebentar bumi Minden untuk ke raudhah kasih sayang. Merawat hati yang kusam. Betapa terasa kerdilnya seorang hamba ketika sujud diatas bumi berbumbungkan langit, di bawah cahaya bulan dan kerlip bebintang. Menadah telapak tangan merayu keampunan dari Tuhan. Tidak tertanggung rasanya diri ini dengan dosa yang menghijab kalbu dari cinta Ilahi. Semoga dalam barakah Ramadhan, sakinah ini berkekalan.

Kambingku dimakan harimau

Sampai sahaja di bilik, baru terasa keletihannya. Selesai berbuka dan solat, aku terlelap dalam balutan telekung. Mengantuk sangat. Ketika jam 1 pagi aku tersedar oleh bunyi bising. Panik. Bunyi ketukan bertalu-talu yang sangat kuat entah dari mana. Cuba mengamati bunyi tersebut. Ohh…loceng kecemasan. Rumet tiada di bilik. Dalam keadaan panic versi mamai aku pakai tudung, sweater dan sarungkan selipar tandas..aku rasa hanya aku sahaja yang tertinggal. Segera aku berlari ke tangga dan dengan gigihnya menuruni tangga dari tingkat lapan. Sampai tingkat bawah, aku lihat pak guard sekalian sedang sengeh memandang. Aaahhhhhhhhhh….latihan kebakaran jer di tengah malam bulan ramadhan ni… berhimpunlah seluruh penghuni tekun kat tepi palang tu, beramai-ramai. Terpaksa aku menyorok kat dalam himpunan pelajar tu, sebab cameraman ada dua dan sibuk ambil banyak gambar..huhu..rasa nak baling cameraman tu dengan selipar tandas aku.. Aku cuma takut nanti, ketika kebakaran betul-betul berlaku, aku menyangka ia latihan juga, dan aku tidak berlari seperti hari ini, seperti kisah seorang budak pengembala kambing yang menipu orang kampung kononnya kambingnya dimakan harimau…dan akhirnya ketika ia benar-benar berlaku, tiada yang datang menolong…

Mahu pulang

Seminggu lagi aku akan terbang pulang. Lama pula rasanya menanti seminggu berlalu. Raya tahun ini, aku balik dengan duit sendiri. Masukkan duit dalam kad sendiri, pergi on line beli tiket sendiri, dan dapatkan no flight sendiri, tidak seperti selalu aku hanya menyua ic kepada pramugari sejam sebelum terbang kerana semua urusan tiket sudah diselesaikan. Aku pernah tidak balik hari raya, sekali dalam hidupku. Ketika di tahun satu. Aku tidak pasti juga mengapa tindakan sebegitu yang aku ambil ketika itu. Apa yang pasti, aku tidak akan mengulanginya lagi.

Hari raya memang tidak semeriah sewaktu kecil-kecil dulu. Walau pun tidak meriah, pulang dihari raya sangat bermakna, paling tidak pun buat ibu ayah tercinta. Setiap tahun dua tiga hari sebelum balik, mak sudah call hampir setiap hari. Cerita pasal langsir raya, baju raya, kuih raya dan segala persiapan tentang raya.

"langsir nanti, za gantung ye"

'baju raya nanti za seterika ye,"

"kuih raya, mak tak nak campur tangan tahun ni, za buat ye"

"nanti za sampai baru kemas rumah ye"

itulah ayat mak setiap tahun sejak kakak kahwin lima tahun yang lepas. Belum buat, dengar arahan tu je dah rase macam nak pengsan…

Belum lagi pesanan dari adik, kak,

"adik nak baju raya, tudung raya dan kasut raya sama macam akak…"

"nanti kakak balik tolong bawak ni, tu, yang ni, yang tu.."

dan arahan paling seksa untuk diterima, "kak nanti kita jalan raye same-same ek…"

huhu, mustahillah aku nak jalan raye pusing kampung dengan budak-budak sembilan tahun..kak ros pun tak buat..

Selalunya keletihan tidak terhingga itu akan aku pamerkan dengan perasaan teruja menyambut raya. betapa lebar senyum seorang ibu, ketika baju yang dijahit aku puji setinggi gunung. Betapa suka perasaan ayah, ketika pelita yang dipacak menjadi tempat bermain bunga api. Ketika sibuk tanganya mengecat rumah, aku tanya dengan soalan-soalan pelbagai, teman ayah bersembang.

Kerana itu aku sentiasa mahu pulang berhari raya, bukan tentang bagaimana aku hendak bergembira, tapi tentang begaimana aku sedaya upaya cuba menggembirakan kedua orang tua. Selagi kesempatan berbakti masih ada, kerana aku khuatir aku pergi dahulu dan tidak sempat membalas jasa, atau mereka yang meninggalkanku terlebih dahulu sehingga aku tidak sempat berbakti untuk mereka.


1 kata kamu:

Anonymous said...

Lama sudah tidak membaca tulisanmu yang boleh mengalirkan air mataku..rindu yang dahulu,sebab itu kurang sukakan perubahan kerana yang tinggal hanya kenangan..