Hujung minggu ini terasa sangat panjang tanpa selangkah pun keluar dari pintu rumah. HOusemate pulak balik kampung dan berprogram di Sebuyau. Sudah lama tidak sendirian begini. Ada lagu sunyi yang terngiang-ngiang dicuping telinga.

Aku langkahkan akal menyelongkar bait ilmu yang bersepah di ruang maya. Seperti selalu rasa kegemaran pada tulisan Abusaif masih mempengaruhi apa yang aku pilih untuk baca. Tapi kali ini aku mencari pengisian yang berkaitan dengan alam baru yang bakal aku tempuhi.

Menghitung hari-hari yang bakal berlalu sebelum aku mengikat janji memberi hati dan seluruh ketaatan pada seorang insan bernama suami, mendatangkan debar yang adakalanya meruntun emosi. Bimbang dan khuatir, sayu, syahdu, syukur cinta dan rindu bergaul sebati dalam mangkuk hati.

Temuduga
Masih segar pesanan ustaz yang menemuduga kami untuk mendapatkan kebenaran berkahwin. Soalan-soalan asas tanggungjawab seorang suami dan isteri ditanya silih berganti. Ditambah dengan ceramah pendeknya memberi panduan untuk bekalan mengemudi alam rumah tangga.
Hatiku paling tersentuh ketika dia berkata bahawa setelah akad dilafazkan maka Allah akan campakkan dalam hati suami dan isteri itu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Saat itu yang aku tunggu, saat Allah turunkan rahmatNya pada usaha kami menyempurnakan sebahagian daripada agama, pada usaha kami bertatih mencontohi sunnah nabiNya, pada usaha kami menghalalkan rasa cinta, pada usaha kami memenuhi fitrah seorang manusia.

Aku
Rasa cinta sahaja tidak cukup untuk membawa rumahtangga kekal hingga ke syurga. Apa yang ada pada aku?Aku bukan wanita hartawan seperti Saidatina Khadijah yang melindungi Rasulullah ketika seluruh Quraisy memulau baginda. Aku juga bukan gadis jelitawan yang menjadi rebutan dek lentik alis mata atau senyum meruntun jiwa. Aku tidak lahir dari keturunan bangsawan, bukan anak raja bukan orang ternama. Aku hanya ada sekeping hati yang aku isikan dengan pelbagai inti. Tahu sedikit tentang agama, tetapi lebih banyak jahil daripada tahunya. Apakah aku masih tidak mahu bersyukur, dalam segala kelemahan dan kekurangan yang menjadi teman perjalanan hidupku, Allah kirimkan aku seorang insan yang sudi menerima segala kekurangan yang aku ada. Maha Pengasih Engkau Ya ALLAH.

Hanya dengan rahmat dan kasih sayang dari Ar-Rahman yang mampu melindungi mahligai kasih sayang kami dari dilanda ribut kencang mahu pun gelora dan badai. Semoga Tuhan ampunkan segala dosa yang menghitamkan hati kami agar tidak menghijab doa yang kami panjatkan sebagai kekuatan dan senjata menempuh badai gelora. Ujian dan dugaan adalah suatu kepastian yang akan Tuhan kirimkan. Maka hanya kepadamu Ya Tuhan kami memohon perlindungan.

Doakanlah kami.

YaAllah, Ya Rahman, Ya Rahim
Tuhan pemilik langit dan bumi
Tuhan penguasa sekalian hati
Tuhan yang mengurniakan cinta
Tuhan Maha Sempurna.
Kurniakanlakah kami cinta
yang Kau jadikan pengikat rindu
antara Muhammad saw dan Siti Khadijah
yang Kau jadikan airmata kasih sayang
antara Imam Ali dan Fatimah Azzahrah
yang Kau jadikan penghias keluarga nabi-Mu yang suci.
Jadikanlah kami suami isteri yang saling mencintai ketika dekat,
saling mengingatkan dikala bahagia, saling menjaga kehormatan dikala jauh.
Sempurnakanlah perkahwinan kami dengan zuriat yang soleh dan solehah
serta rahmatilah kami dengan perkahwinan yang bahagia hingga kesyurga.

Amin Ya RabbalAlamin.



6 kata kamu:

Anonymous said...

touching tul post kali ni..zai dpt ase perasaan akak yg bercampur2 tu..semoga berbahagia ye perkahwinan akak..dunia dan akhirat:)

Cik Hawa said...

Semoga kalian sentiasa bahagia, dunia akhirat..(^^,)

Zakia Setu said...

terima kasih..semoga Allah mengasihi kalian juga..

Anonymous said...

fulamak ai...ayat xtahan.huahua...smoga bahagia dunia & akhirat ya-Amalina RM

Anonymous said...

semoga bahagia sampai syurga kak..:)

Zakia Setu said...

amin ya rabbal alamin..semoga Allah makbulkan sekalian doa kita..