Imtinan sedikit kebah. Nafasnya kembali ada untuk melayari internet walaupun aku sedikit jenuh dengan ‘chipsmore’nya yang sering mengganggu. Sepatutnya aku mencari maklumat dan menyiapkan kerja yang diarahkan oleh sifu, tapi entah bagaimana jari dan mataku menjalar ke tempat lain. Satu persatu blog rakan-rakan aku terokai, dari yang akrab hinggalah kenalan biasa.
Membaca setiap tulisan itu bagaikan membedah irama hati mereka. Dan terpamer segala rasa yang tersimpan kerana tidak punya ruang untuk meluahkan pada insan. Maka dalam rentak tulisan itulah tercurah segalanya.
Hidup ini terlalu pantas untuk dikejar. Semalam dan hari ini tidak akan pernah sama. Mungkin ada sesuatu yang sangat kita sukai semalam, akan hilang pada hari ini. Dan apa yang kita cintai hari ini akan pergi hari esok. Apakah tidak boleh untuk kita miliki apa yang sangat kita cintai? Hakikatnya, pernahkah kita punya hak untuk memiliki sejak semalam, hari ini, esok dan selamanya…
Aku, kamu, kita dan mereka juga sudah jauh berbeza. Tiada lagi istimewa, jauh sekali cinta. Malangnya kita tidak pernah tahu sejak bila perbezaan ini bermula. Adakah kita sudah jemu untuk bersama? Atau kita sudah benci untuk berkongsi rasa? Atau sebenarnya memang kita ini manusia yang akan membuang sepah setelah manisnya tidak terasa.
Aku rindu saat semuanya itu, sebelum nanti aku pergi jauh dari sini. Saat sunyi dan sendiri akan mencipta ruang untuk aku tenggelam dalam kenangan yang kita cipta bersama. Indahnya senda gurau kita yang membuahkan gelak ketawa. Bahasa mata yang tidak perlu kepada kata-kata. Cerita dan panglipulara dalam becok mulut kita berbicara, terus dan terus…kita kongsi segala. Sesudu disuap bersama, satu dibahagi dua. Gelak kita senada, tawa kita seirama. Selalu tercipta dunia yang hanya ada kita dan kita.
Bukan sekadar saat suka, kita juga selalu bersama manyapu air mata. Sering kita jatuh tersungkur, menangis namun kembali bangkit dan berlari walau menahan kesakitan. Kita basuh darah-darah luka yang mengalir dan kembali senyum dalam kelukaan. Namun, mengalah bukan kita. Pernah juga kita merana kesakitan dalam diam namun mata kita tidak mungkin berjaya menyembunyikan kenyataan. Dan kita sampaikan kefahaman itu tanpa ungkapan.
Mengapa kita letakkan noktahnya sebelum saat itu tiba. Apakah benar kita sudah tekad untuk beralih cinta, mengubah dunia, mencari hala berbeza…sedangkan kita masih punya masa untuk mengutip bahagia bersama. Tiadakah pertimbangan dengan akal yang rasional dan hati yang cekal. Jika begitulah pilihan, mudahnya kita lupa.
Biar apa pun ceritanya hari ini, terima kasih teman atas semalam yang engkau beri...
0 kata kamu:
Post a Comment