Alhamdulillah, sebenarnya banyak rasa yang bertakung dihati, cuma keinginan untuk mencoret tidak membara menjadikan takungan hati itu akhirnya pudar oleh masa. Pagi ini, seusai menikmati bekalan air tangan suami, saya seperti mahu mencoret tentang hidup yang kini semakin mudah.

Hidup sentiasa berteman, susah yang sentiasa ada penyelesaian. Kerisauan ada, tapi masih boleh dilipat kemas-kemas agar tidak serabut serabai dalam hati. Itu kemudahan yang boleh dilihat mata zahir.

Kemudahan yang tidak terpandang dengan mata fizikal adalah kasih sayang dari Tuhan. Betapa Dia memudahkan seorang wanita menambah amal ibadahnya, mencari jalan takwa, menikmati kalimah redha. Mudah asalkan didasari dengan rasa sabar dan ikhlas keranaNya.

Bangkit seawal-awal pagi, melawan kantuk mata menekan suis seterika, kalau dilakukan seikhlasnya, menggosok baju suami tercinta membuahkan pahala yang pertama. Senyum, salam, peluk dan cium jika ikhlas mengalirkan cinta dalam lambaian selamat pergi bekerja adalah habuan pahala yang seterusnya.

Petang hari kepenatan, mengangkat anak lesung pun seperti berhempas pulas. Sedaya tenaga ingin menyediakan santapan malam yang menyelerakan buat suami tercinta. Jika perencahnya adalah sabar, digoreng sebati dengan cinta, kasih sayang dan keikhlasan, bukan sekadar juadah didunia tapi berpanjangan hingga ke syurga.

Hujung minggu sihat dengan riadah rumah tangga, mencuci baju, mengemas rumah seadanya. Rutin mudah yang tidak perlukan cabaran minda. Buat dengan tekun dan sabar, ganjaranya pahala dari yang Esa.

Dilidah ia mudah untuk dimadah, beban dan kepenatan menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan, kesabaran yang kurang akan menukarkan segala amal ibadah itu menjadi dosa keingkaran.

Buat wanita yang telah lama bergelar isteri, beruntunglah dan bersyukurlah. Buat wanita yang belum bergelar isteri, percepatkanlah menuruti sunnah. Dan buat para wanita yang baru bergelar isteri seperti aku, memang memakan masa untuk mengadaptasi segala. Jika dulu, rutin-rutin itu hanya bila perlu, sekarang ia sentiasa perlu. Apa yang anda perlu lakukan, didik hati agar menjadi lebih ikhlas dan sabar, selepas itu hidup akan jadi lebih mudah, tenang dan bahagia. Memang memakan masa, tapi percayalah dihujungnya nanti ada cinta, ada redha, ada bahagia.

Wallahualam.
Sudah lama saya tidak mencoret kata disini. Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsi. Tentang Ramadhan yang telah pergi, tentang sambutan aidilfitri yang pertama bersama suami, tentang ukhwah yang retak oleh lidah, tentang hidup yang indah oleh cinta, tentang harapan, tentang angan-angan, tentang impian dan perancangan, tentang kerja dan sekolah.. tentang semua.

Biar pun cerita itu semua hanya biasa-biasa sahaja. Tapi saya tidak mahu berhenti mencoretnya disini. Sedaya mungkin saya ingin menitip saat-saat manis mahu pun getir diruang maya ini. Semuanya demi menghargai setiap detik waktu yang berlaku dalam hidup saya. Buat kenangan, memori dihari tua. :)

Saya tidak tahu apa yang sebaiknya untuk ditulis, semoga apa yang tertari pagi ini tidak mendatangkan mudarat kalau ia tidak menghasilkan manfaat.

Sepanjang perjalanan ke sekolah pagi tadi, saya pasangkan cd mengaji, memang setiap pagi begitu kerana ia adalah terapi jiwa yang baik dan yang lebih penting supaya fikiran tidak berfikir pelik-pelik.

Sepanjang perjalanan, saya teringat pada seorang insan yang pernah saya ziarahi hampir dua tahun yang lalu. Ketika saya melawatnya dia diam tidak langsung berbicara, kalau ada pun, tuturnya tidak difahami oleh saya. Diruang kecil itu, tenang anaknya mendakap dan melayaninya sedang saya berhabisan cuba menahan tangis agar tidak tumpah. Keluar sahaja dari pintu yang memisahkannya dengan dunia luar, saya hamburkan tangisan melepaskan segala rasa kasihan yang tidak terungkap. Tiada siapa mengerti mengapa begitu takdir hidupnya, kenapa hidupnya hilang cahaya, kosong makna.

Dengan perasaan saya mendeduksi jawapan. Saya kira, mungkin dalam hatinya pasti ada suatu cerita tersimpan, cerita yang tidak akan dia luahkan. Mungkin padanya, lebih baik diam dari bersuara. Mungkin dalam jiwanya ada satu rasa, rasa yang tidak terungkap pada sesiapa. Lama dia menyimpannya, hingga akhirnya rasa dan cerita itu menghilangkan waras akalnya. Mungkin dia nekad mengorbankan dirinya, hatinya, jiwanya, rasanya, semangat hidupnya, demi insan-insan yang dia cinta. Syukur dia punya tiga permata berharga menemani sunyinya. Dia mutiara dihati mereka.

Pagi ini saya terasa sangat ingin menziarahinya, tapi dia jauh diseberang sana. Lalu saya titipkan doa agar dengan barakah dan kemuliaan Ramadhan ini dia menemui rasa tenang dan bahagia hingga ke akhir hayatnya. Amin.

Dalil Puasa dalam Al-Quran

“Hai orang-orang yang beriman, diperlukan atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diperlukan atas orang-orang yang sebelum kamu,mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (2:183)

“(Puasa itu ) beberapa hari tertentu (29 atau 30). Barangsiapa yang sakit di antara kamu atau dalam perjalanan, maka berpuasalah pada hari yang lain. Dan bagi orang-orang yang kuasa berpuasa, tetapi amat berat melakukannya, (wajib) memberikan fidya , (dengan memberi) makan seorang miskin. Barangsiapa mengerjakan sunat, maka itu amat baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (2:184)

“(Puasa itu) pada bulan Ramadhan yang diturunkan Quran pada bulan itu untuk petunjuk bagi manusia dan beberapa keterangan dari petunjuk dan membezakan antara yang hak dan yang batil..barangsiapa yang hadir diantara kamu di bulan Ramadhan hendaklah dia berpuasa. Barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan, maka berpuasalah pada hari lain. Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan tiada mengkehendaki kesukaran. Hendaklah kamu sempurnakan bilangan bulan itu dan hendaklah kamu besarkan Allah, kerana petunjukNya kepadamu,dan mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya. (2:185)

Syarat-syarat sah puasa ada enam perkara:

· Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.

· Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.

· Suci daripada haidh dan nifas sepanjang siang hari puasa.

· Berniat tiap-tiap malam.

· Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.

· Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa

Beberapa adab-adab yang baik bagi menambah kesempurnaan dan pahala puasa adalah:

  • Jangan banyak berludah.
  • Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah.
  • Menghindar diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
  • Menjauhkan diri dari sebarang pendengaran yang haram.
  • Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut dan kotor.
  • Menguasai tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki dari berjalan ke tempat-tempat maksiat.
  • Jangan berlebih-lebihan makan dan minum ketika berbuka.
  • Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.
  • Jangan banyak tidur, terutamanya pada siang hari.


۞MUTIARA HADIS۞

“Sepuluh permulaan Ramadhan itu adalah rahmat Allah, sepuluh pertengahan Ramadhan pula adalah keampunan Allah dan sepuluh yang terakhir pula adalah kemerdekaan Allah kepada hambaNya daripada api neraka” (Hadis Riwayat Ibn Abu Dunya dan Khatib)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Diam orang yang berpuasa itu tasbihnya, tidurnya suatu ibadah, diperkenankan doanya, dan pahala amalannya digandakan.”

Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Membawa sepemeluk penuh rahmat dan kasih sayang Allah yang akan melimpah ke atas hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan ibadah dan amal jariah. Ramadhan bulan rahmat dan berkat yang Allah jadikan buat hamba-hambanya. Inilah bulan ibadah. Setiap amalan ibadah yang dikerjakan pada bulan ini akan dibalas berlipat kali ganda. Pahala mengerjakan amalan sunat seperti mengerjakan amalan wajib. Pintu-pintu neraka ditutup, pintu-pintu syurga dibuka luas. Disyariatkan amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita seperti mana diwajibkan ke atas golongan terdahulu, dengan tujuan agar kita bertakwa kepada Allah swt. Disunatkan solat terawikh pada malam harinya agar bertambah ganjaran pahala, yang mana solat sunat terawikh tidak akan terdapat dalam bulan-bulan yang lain.

Buat kita seorang hamba…

Ramadan seharusnya menjadi ruang taubat menghapuskan dosa. Berjihad melawan nafsu, bukan sekadar nafsu makan dan minum sahaja. Malah nafsu amarah, pemalas, ego, bongkak dan sebagainya. Didiklah hati yang telah dikotori sebelas bulan sebelumnya agar kembali putih dijalan yang Esa. Kerjakanlah amalan sunat buat bekal ke akhirat. Tadabburlah kitab suci buat bekalan mati. hulurkanlah sedekah buat penambah ibadah. Ramadhan satu-satunya bulan yang punya kerahmatan luar biasa. Jangan bertangguh lagi, Ramadhan akan datang belum tentu lagi kita masih dapat menikmati.

Tapi sayangnya…

erti Ramadhan sudah ditafsir dengan skema pelbagai. Ramadhan menjadi bulan alasan mengurangkan produktiviti dek keletihan tidak bertenaga. Ramadhan yang sepatutnya bulan kerehatan untuk sistem penghadaman dikerah bekerja lebih keras daripada biasa bila diisi dengan banyak dan pelbagai menu berbuka. Kekenyangan dan rasa mengantuk melenyapkan kekuatan untuk berdiri lapan rakaat dengan alasan ia cuma amalan sunat. Memang tidak berdosa meninggalkannya, kerana ia amalan orang-orang yang mengharapkan taqwa, tapi apa makna ramadhan tanpanya. Waktu-waktu senggang untuk tadabbur quran disibukkan dengan membuat biskut dan kuih raya berbalang-balang.

Tidak salah…

berbelanja di bazaar tapi janganlah sampai menggantikan syaitan yang sedang dirantai. Tidak mengapa menyibukkan diri menjahit langsir dan baju raya, memenuhkan bekas kuih dan balang kaca asalkan ia tidak mencemarkan barakah Ramadhan yang Allah kirimkan. Asalkan tidak melenyapkan maksud dan intipati sebenar Ramadhan itu Allah ciptakan untuk kita, hambaNya. Jangan ramadhan ini hanya bermaksud berlapar dahaga di siang hari sementara menunggu masa mencekik di malamnya nanti.

..dan aku

Menitipkan pesanan ini khas buat diriku sendiri yang masih ralat di hati kerana gagal meraikan awal Ramadhan ini seperti yang Nabi kehendaki. Semoga dikurniakan kekuatan mengutip barakah-barakah Ramadhan sementara ia masih lagi belum pergi… “andai ini ramadhan terakhir buatku, kuharap ia kan menjadi pembelaku di akhirat nanti”

Ini keluhan atau luahan....

Sejak pertama kali berniat dan berazam menjadi seorang pendidik, saya mengerti bahawa tugas itu tidak semudah namanya. Beban dan tanggungjawabnya hanya difahami oleh mereka dari golongan yang sama. Amanah yang berat, cabaran yang besar. Selalu malah saya sudah hadam sangat pesanan agar seorang cikgu jangan hanya mengajar tulis baca, tapi didiklah anak murid mengenal dunia, merintis jalan meniti kehidupan, ajarkan perbuatan, lenturkan pemikiran, didikkan perasaan dan tiupkan perjuangan menjadi makhluk bernama insan.

Saya tahu itu sukar..sukar tidak tergambar.

Lebih sukar bila bergelar guru zaman ini. Zaman yang sudah terlalu jauh dari asas membentuk ketamadunan iaitu moral. Zaman yang serba material. Zaman manusia bangga menimbulkan persoalan tanpa jawapan. Zaman berpusatkan sendiri, zaman nafsi-nafsi. Zaman serba senang serba lantang. Zaman mengaku bangun tapi lena dalam kebodohan, kerakusan, ketamakan. Zaman manusia semakin lupa hidup bertuhan. Zaman logic mengatasi iman. Zaman wahan.

Perbuatan kurang ajar sudah menjadi perkara biasa-biasa. Dulu guru diletak tinggi darjatnya, kini guru jangan berani lebih daripada biasa. Sedikit guru bertindak, seluruh negara mencaci mencerca. Sedangkan yang mencaci cerca itu tidak tahu rotan bukan lagi ketakutan kepada pelajar, gantung sekolah adalah cuti yang dinanti, buang sekolah adalah alasan yang ditunggu untuk tidak lagi ke sekolah, apa lagi senjata yang hendak digunakan untuk mendidik pelajar? Bila guru lepas tangan, masuk kelas hanya menghabiskan sukatan, lalu guru dilabel makan gaji buta.

Serba salah..tersepit antara amanah, usaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan persekitaran mental yang sangat parah.


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu
Blog ini tetap sama wujudnya, Tetap disini untuk menakung sebahagian melodi hatiku. Ia masih ada, setia tersenyum dan menadah pada wajah yang selalu menatapnya.

Hatiku tetap sama kandungnya. Terbalut oleh selaput nipis yang terlalu mudah tercalar. Rimas untuk dijaga, sukar benar dipelihara. Dalam sujud aku kerdil meminta, teguhknlah hati ini pada jalanNya, kuatkan iman ini hanya berpaut pada taliNya, semoga hati ini ampuh merncari taqwa padaNya, semoga hati ini kuat tabah menempuh ujian dariNya.

Mataku tetap sama.Tetap laksana kolam penuh yang sangat mudah menumpahkan tadahannya.Tidak pernah berubah setelah sekian lama. Satu-satunya wadah menzahir rasa. Sedih atau gembira, lara atau bahagia.

Penantian dan perjalanan juga tetap sama, mengharungi liku hidup melaksanakan sekalian amanah yang masih ada, membayar segenap hutang harta, masa, tenaga dan rasa. Mengharap segalanya terbayar sebelum lena menutup mata. Menantikan hujung nyawa mengakhiri kehidupan dunia. Semoga matiku adalah kerehatan untuk ku..amin.
Hubby tiada dirumah. Balik Kuching sebab esok hubby ada interview kat UiTM Samarahan. Jadi saya duduk sorang-sorang dirumah.

Saya risau, sebab hubby sebenarnya tidak sihat untuk drive jauh sorang-sorang. Malam semalam, kaki hubby tiba-tiba sakit, bengkak dan tak dapat berjalan. Hubby terjaga pukul 3 pagi mengadu kakinya sakit. Siangnya, saya ke sekolah awal pagi, selepas selesai kelas 2 waktu, saya bergegas hantar hubby ke klinik. Tinggalkan hubby disitu dan kembali ke sekolah untuk kelas yang seterusnya. Selesai kelas yang kedua saya datang semula ke klinik dan hantar hubby balik rumah. Kembai kesekolah dan sambung mengajar kels yang terakhir. Dua kelas yang pertama saya buat eksperimen berama pelajar, kelas terakhir, saya sudah kepenatan, saya hanya biarkan pelajar menyalin nota. Kesian mereka.

Nasib baik Izzah si Alza putih itu automatic. Boleh lah saya pandu ke sana-sini. Dapatlah saya tolong bawa hubby kesana sini walau pun belum berlesen lagi. darurat..hehe..

Alkisah nak dijadikan cerita, hari sebelum kaki hubby sakit, Imran si Myvi dilanggar lari, side mirror patah. Bila kedai spare part call untuk pasangkan side mirrow petang tu, terpaksa hubby merelakan saya drive Imran dengan hubby duduk disebelah. Hehe..kesian hubby dah lah mengerang kesakitan bila lalu jalan yang tidak rata, kereta pulak kena hentam dengan isteri..berapakali kereta tu mati-mati tengah jalan..hahaha..

Malamnya, bawa hubby pergi berurut, kesian tengok hubby kesakitan. Balik dari berurut, dah lewat, sempat iron baju jer sedangkan esoknya (hari ini) saya ada interview pengesahan jawatan. wow..maka dengan tidak studynya saya bertawakal.

Datang paling awal dekat tempat interview, lepas mendaftar baru perasan ada satu lagi dokumen yang tidak disediakan. Bergegas balik sekolah dan print pengesahan iktiraf ijazah. Nasib baik sekolah dengan tempat interview tu lima minit sahaja. Oh..momentum dan semangat dah lari..tapi tak apa, tawakal jer..

Bila sesi interview, wow, ada sorang tu macam hafal skrip. Fakta vouge. Huhu. Rasa down sekejap. Tapi alhamdulillah, semua soalan yang ditanya kepada saya, boleh dijawab. (Semua guna fakta yang dipelajari masa debat dulu)

Balik saja dirumah saya tidur..beberapa hari yang meletihkan..kemudian kemaskan barang-barang untuk hubby bawak pergi interview. Semoga interview hubby juga berjalan lancar. Semog hubby selamat pergi dan kembali disisi isterinya yang kerinduan ini..hehehe..