bintang semakin terang bersinar
memberi pandu pada musafir cinta
jangan ditanya hatiku milik siapa
jangan ditagih kasih darinya
bukan untuk kamu yang masih menunggu
maafkan aku
aku bukan tercipta untukmu...

Ya Rasulullah…

Ketika hati ini cuba mencari jalan menyelusuri sunnahmu, aku berikan hamparan kasih sayang dan perhatian, bukan diharap untuk dibalas dengan penghargaan, cuma mengharap pertemuan dihalaqah iman. Tapi mungkin bicaraku tidak semanis tuturmu ya Rasul. Tingkah ku tidak sehalus budimu. Senyumku tidak seindah raut mu. Maka harapan tidak berbalas, jemputan tidak berjawab. Titipkanlah syafaatmu, agar hati ini tabah tidak jemu. Hadiahkanlah doamu, agar jiwa ini cekal tidak layu. Dunia ini selalu ada tipu daya dan gurau senda, selamatkanlah aku dari dipersia.

YaAllah,

Tuhan Maha Agung, Maha Pengasih, Maha Penyayang…

“Dia (Allah) telah mensyariatkan kepadamu agama yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu tegakkanlah agama (keimanan dan ketakwaan) dan janganlah kamu perpecah belah di dalamnya. Sangat berat bagi orang-orang musyrik mengikuti agama yang kamu serukan kepada mereka. Allah memilih orang yang dia kehendaki kepada agama tauhid dan member petunjuk kepada agamaNya bagi orang-orang yang kembali kepada-Nya.” As-Syura: 13

Tuhanku, aku rayu agar terus memilih aku sebagai orang yang engkau kehendaki kepada agama tauhid ini. Andai dosaku yang menghijab kejayaan perjuangan ini, aku mohon terimalah taubatku.

Duhai adik…Semoga kamu bahagia didunia hingga ke syurga selamanya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Hari ini saya rasa sangat bahagia. Sangat. Hari ini saya telah langsaikan segala tugas sebagai seorang pelajar usm. Habis sudah semua kelas, kuliah, tutorial, assignment, report, presentation dan segala macam tugas sebagai seorang pelajar. Semester depan, walau pun masih bergelar pelajar, tapi tugasnya mengajar. Kalau emak ada depan mata sekarang, saya nak peluk emak erat-erat sebab saya sangat bahagia.

Oh ya, seminggu yang lepas, hari jadi saya yang ke 22. Dah dewasa rupanya. Pensyarah saya kata dah boleh kahwin. Haha. Tahun ni seperti sebelumnya, mak lah orang pertama yang sampaikan ucapan berserta doa. Walau pun doanya typical dan biasa-biasa sahaja, tapi doa seorang ibu sangat bermakna, pintu ke syurga. Kawan-kawan lama yang tidak pernah lupa, terima kasih ya. Kawan yang pelupa tapi masih ingat hari jadi saya, terima kasih juga. Yaya sudah setahun bersama saya, kini sudah berteman. Ada Yayi yang setia. Tahun ini, ada dua hadiah paling istimewa, satu yang saya sedang pakai sekarang, dan satu lagi, panggilan percuma selama seminggu, terima kasih Celcom!

Hari ini juga saya ketemu kembali teman lama sekolah dulu. Dari jauh dia datang bersama rombongan UIAM kuantan. Pertemuan seketika tapi cukup untuk meredakan rindu bertahun lama.

Sungguh hari ini saya rasa sangat lega. Sudah langsai segala. Juga saya sudah tekad mengatur perancangan hidup masa hadapan. Saya sangat yakin dengan apa yang telah saya putuskan. Sekarang masa untuk melangkah ke alam baru, penuh dugaan. Selagi nyawa dikandung badan, saya akan buktikan apa yang saya janji. Saya akan kota apa yang saya kata. Bahagia ini akan saya cari dan saya kejar walau dimana jua. Saya tidak akan mengalah, biar nyawa galang gantinya. FIght!

Dalam bahagia ini, saya juga sedang gila. Rasa mahu terjun dari awan terus tenggelam ditengah lautan. Atau terbang tinggi ke angkasa raya memuja bulan purnama, haha..haha. gila. Tapi kegilaan in juga membuat saya bahagia.

Saya mahu pulang, ada skrip panjang perlu ibu dengarkan...

Jauh kembara mencari nakhoda

bijak memandu kapal belayar

berpandu bintang dilangit yang esa

bersama jiwa yang penuh cinta

Ada doa panjang yang penuh pengharapan

tegar meminta sekelumit kekuatan

untuk menempuh seribu dugaan

menanti kapal berlabuh di pengkalan

jalan ini penuh berduri

namun hujungnya tak pernah pasti

sedang impian tersemat dihati

ada bahagia yang bakal menanti

Hari ini, saya kurang sihat. Sakit yang selalu, yang biasa-biasa.Tapi ada banyak kerja yang perlu dilakukan. jadi saya gigihkan diri ke perpustakaan kerana tiada kelas hari ini. Tambahan pulak internet tidak begitu elok di Tekun (untuk perhatian Shafiq).

Di perpustakaan, saya cari seberapa banyak jurnal yang saya perlukan. Saya save dalam pendrive. Tapi, rasa sakit yang semakin bertambah menyebabkan saya menukar fikiran dari terus menetap di library sehingga malam, sehingga semua kerja saya selesai. Kerana sudah tidak tahan, saya ambil keputusan pulang ke bilik, saya tunggu bas. Bas sampai dan penuh. Terpaksa berdiri dalam menahan rasa sakit. Saya hanya mahu segera sampai ke bilik dan berehat.

Sampai di bilik, saya baru perasan saya lupa hendak cabut pendrive dari komputer library. Ya Allah, saya terpaksa patah balik. Dalam pendrive tu, ada semua lab report saya, ada report fieldwork, ada maklumat untuk subjek pengurusan disiplin, ada segala jurnal untuk kerja-kerja RA. saya berharap ia masih ada di situ, kerana ia bukan tercicir, tapi saya tahu ia dimana...saya berharap ia masih ada.

Sayangnya ia sudah tidak ada lagi ditempat saya tinggalkan ia. saya ke kaunter dan bertanya, jawapan nya tidak. Pegawai keselamatan yang bertugas juga menggeleng tidak tahu. Maknanya, pendrive itu dalam genggaman seseorang yang saya tidak tahu.

Saya tidak ada perkataan untuk menggambarkan segalanya. Sedih, kecewa. saya tahu kelalaian saya. Saya telefon seorang kawan yang saya tahu sangat ambil berat. Saya cerita dalam tangis.

Saya pulang semula ke desa, keluar makan dan telan ubat tahan sakit yang saya tidak suka. Lupakan tentang pendrive yang hilang. Saya perlukan kekuatan untuk memulakan semula segala-galanya sebelum Jumaat ini tiba.

Ya Allah...


Terpanggil untuk mencoret satu pemikiran gadis kecil ini selepas membaca entri seorang jejaka yang sedang mencari dan memberitahu soal cintanya, walau pun sebenarnya, aku tidak berapa gemar berbicara soal subjektif ini.

Aku tidak tahu bagaimana hendak mendefinisikan cinta. Terlalu subjektif pada jiwaku yang cetek ilmu dan pembacaan ini. Tapi aku suka pada sebuah lirik lagu, katanya “cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan fitrah insani..” Ramai manusia cuba mendefinisikan cinta dengan kata pujangga, syair, lagu, malah kajian-kajian professor ternama, ahli sosiologi, ahli psikologi, termasuk ustaz-ustaz motivasi. Aku tidak arif itu semua, Cuma yang aku pernah tahu...

“Sungguh orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka). “ Surah Maryam, ayat 96.

Inilah sumber yang melahirkan rasa cinta sebenar. Bukannya datang kerana lirik mata yang menawan, badan yang sasa, ayat-ayat romantic yang berbunga-bunga atau dari wajah jelita seperti Barbie doll, lenggok jalan menawan seperti model dan apa-apa sajalah yang orang suka ketika bercinta...kalau cinta datang dari itu semua, apabila itu semua hilang, akan hilanglah cinta.

Cinta boleh hidup dan disandarkan kepada dua perkara. Pertama, kerana keinginan. Ingin dicintai, ingin dimiliki dan memiliki, ingin dibelai, ingin dihargai, ingin dipertahankan, dipuja-puji, diangkat, disanjung, kerana dalam hati manusia memang sentiasa ada keinginan pada itu semua. Nafsu. Maka lahirlah hubungan cinta yang perlu kepada panggilan setiap malam, SMS setiap saat, pertemuan setiap hari, jambangan mawar setiap minggu, ucapan dan hadiah istimewa dihari jadi, kata-kata indah, memuja-memuji tanpa tahu hujung pangkalnya. kalau itu semua tidak dilakukan, maka keluarlah ayat, “kau sudah tidak mencintai aku lagi, cukup hubungan kita sampai disini” (haha, drama plak).

Persoalannya, semurah itukah cinta? Bukankah cinta itu rasa yang mulia. Menyenangkan dan menenangkan. Memiliki cinta menerbitkan rasa bahagia. Mententeramkan jiwa. Kalau pun berguguran dedaun kasih dihembus dugaan, tidak akan pernah mengurangkan rasa kerana itu proses dalam bercinta, yang halal, yang membawa ke syurga. Masakan harganya hanya seperti sejambak mawar. .Itukah cinta atau itu hanya keinginan perasaan semata-mata yang tiada makna, kosong tanpa roh cinta...

Kedua, sandarkanlah cinta pada rasa inginkan kebaikan dalam perhubungan, kesederhanaan, jelasnya matlamat dan wajarnya impian, disamping sentiasa akur pada takdir yang telah diaturkan Tuhan. Merancang dalam limitasi bahawa tidak semua yang dirancang itu akan menjadi kenyataan kerana sentiasa ada kuasa yang melebihi segalanya dalam hidup kita. sentiasa memperbaiki cinta dan mengharap cinta itu menuju jalan ke syurga, bukan asbab terlontar ke neraka. Rasa itu adalah ketundukan pada Tuhan, atau bahasa mudahnya iman. Typical? memang typical...tapi yang typical ini terlalu sukar untu difahami dan dicari. Itulah cinta yang dicari manusia, tapi tidak semua yang mencari berjaya menemuinya.

Bercintalah dengan rasa ketundukan ini, nescaya tidak akn ada kecewa ketika ketinggalkan. Tidak ada rindu yang menggila ketika berjauhan. Tidak takut pada kecurangan, tidak hakis dek dugaan. Segalanya tenang dan menenangkan. Tapi ingat berbatas sebelum dinikahkan, dan bersegeralah ke gerbang perkahwinan.

Harus diingat cinta seperti ini, tidak sesekali menidakkan fitrah manusia yang bernafsu dan berkeinginan. Ingin menjadi lelaki paling romantic, macho, maskulin dan sebagainya, atau mamat jiwang yang berbunga penuh kata cinta? jadilah, isterimu akan sedia mendengar (walau pun ada yang tak suke). Hendak merengek manja, meminta-minta, mengada-ngada lazimnya seorang wanita, silakanlah, suami mu ada untuk menunaikannya. bukan sekadar ia halal, malah ia adalah sedekah bila ditunaikan.

Cinta itu tidak Allah ciptakan untuk menyeksa manusia. Tapi manusia yang selalu mencipta keseksaan bila bercinta. Cinta itu ada harga dan ada makna buat yang bercinta dengan peraturan yang telah ditetapkan olehNya.

Buat yang telah bercinta, berikanlah makna dan harga sebenar pada cinta anda, agar ia menjadi titi yang membuka gerbang syurga. Buat yang belum bercinta, berhati-hatilah kerana syaitan selalu ada untuk menggoda. Buat yang sedang merana putus cinta, percayalah bahawa Allah masih mahu kamu menemui cinta yang lebih sempurna kerana mungkin cinta sebelum ini, belum layak dipanggil cinta...

Selamat Bercinta dan selamatkanlah cinta..:)

Sepanjang usia aku yang baru menginjak 22 tahun ni, ada dua bidang yang sangat aku cintai. Dan bila aku mencintai, aku akan lupa segala yang lainnya..

Pertama, bidang persilatan, haha..mungkin ada yang sukar untuk percaya. Aku mula masuk silat tingkatan satu. Mula-mula mak tak bagi, tapi aku pujuk jugak sampa mak bagi. Masuk sebab setiap kali lalu kat dewan besar, akan dengar bunyi orang bersilat..best..sangat bersemangat.

Bermula dari itu, setiap petang selasa dan jumaat, aku dah siap dengan pakaian silat kat dewan tunggu tok guru datang. Tak pernah ponteng. Dari tingkatan satu sampai tingkatan lima. Aku tambah teruja bila terpilih untuk ikut serta pertandingan mewakili sekolah peringkat negeri, sebagai penyokong jer, mase tu tingkatan dua. Bermula dari saat aku menyimpan azam untuk mewakili sekolah. Tingkatan tiga aku pergi lagi, kali ni sebagai simpanan, huhu, ada perkembangan, dan sewaktu di tingkatan empat aku berjaya mewakili sekolah untuk pertandingan seni silat sekolah-sekolah menengah peringkat negeri Sarawak. Tuhan je tahu betapa seronok dan teruja nya aku ketika itu, walau pun tak menang.

Ketika itu, apa sahaja program yang bertindih dengan silat memang aku akan pilih silat. Pernah sekali, sekolah buat majlis solat hajat untuk pelajar PMR dan aku adalah calon PMR tahun tu, tapi aku pilih untuk pergi rehearsal persembahan silat untuk Festival Silat Borneo Serantau, rehearsal je pun..lagipun ada 1000 pesereta lain yang ada, aku tak de pun tak de kesan...alasan aku, festival ini dua tahun sekali jer..ceh, PMR sekali je seumur hidup, tapi itulah kalau aku sudah mencintai...aku tidak akan berhenti selagi aku tidak mencapai apa yang aku ingini

Ingatkan, habis form five, berhentilah kegilaan aku tu. Tak jugak, sampai kat matrik, terjumpa plak abah, family angkat aku kat Labuan. Abah pulak guru silat. Kat matrik kelas habis pukul 3.30 petang, pukul empat aku dah gigih pusing trek buat warming up. Setiap petang dan aku tidak pernah ponteng.!Disebabkan aku AJK Surau Al-iRfan , lajnah makanan plak tu, setiap khamis dan isnin ada masak-masak untuk buka puasa sunat, dengan baju silatlah aku akan pergi goreng jemput-jemput, lepas siap, aku akan berlari ke padang untuk latihan.

Dengan segala kegigihan (haha) berlatih silat tu, empat bulan tanpa henti..cuti pun tak balik..aku berjaya mewakil Labuan ke pertandingan seni mempertahankan diri peringkat kebangsaan, di Johor. Abah ajar main pisau, tempur tangan kosong, main bunga, satu acara lagi tak ingat...main pisau tu sampai berdarah-darah..partner akulah..aku tak pernah cedera spenjang bersilat. Hehe. Akhirnya aku berjaya bawak balik satu emas dari kejohanan tu...sangat puas hati kerana impian aku dah tercapai. Selepas matrik aku tinggalkan dunia kecintaanku yang ini kerana segala impian sudah terlakar sangat indah dalam kenangan..

Kedua, debat. Bermula bila aku masuk usm. Ketika sedang berjalan-jalan kat foyer DK. Nampak abg kimi, kak shiela dan abg zali sedang duk kat kaunter cari AJK untuk pertandingan debat alam sekitar di USM. Tanpa berfkir panjang, aku pun isi borang dan jadilah aku LO untuk team debat uitm waktu tu. Jadi penjaga masa je...kalau ingat balik masa tu, macam tak sangka pulak sekarang ni aku pendebat. Pernah satu perlawanan tu, UPM lawan u mane entah...pendebat ketiga UPm, saudara Amiruddin yang sedang meletup sekarang. Boleh ingat Amir sebab dia angkat botol air semasa berdebat, dapat best speaker walau pun dieorang kalah pusingan tu. Sekarang ni, berkali-kali jugak jumpa amir dalam perlawanan, tak pernah aku menang. Dan aku akan pujuk hati macam ni, takpelah kalah dengan amir, aku pernah jaga masa die jer sewaktu dia sudah mewakili u dulu. Oklah kan...haha. itu agaimana aku bermula manjadi seorang pendabat university.

Tak perlulah untuk diceritakan bagaimana aku mencurah cintaku pada dunia perdebatan kerana cerita cinta itu hanya ada dalam hati dan sangat sukar untuk diceritakan disini. Tak payah cerita berapa banyak kelas aku ponteng untuk pergi debat. Berapa banyak aktiviti ko-k (kelanasiswa) aku tinggal sebab nak datang latihan debat hujung minggu. Cuti memang tidak pernah ada. Selepas aku join debat, aku tak pernah masuk persatuan lain, persatuan mahasisiwa islam pun aku tak masuk, apatah lagi persatuan ilmu pendidikan k, majlis penghuni desa k...bila orang tanya kenapa aku tak masuk, aku jawab senang je. Malas. Hakikatnya aku taknak ada satu pun jadual yang clash dengan debat. Aku sanggup tunda aku punye Program Induksi Kendiri kat sekolah, sebab nak pergi debat integrity yang waktu cuti tu...dan bila dah buat kursus tu aku mintak lagi cuti sebab nak pergi debat perpaduan pulak...ish3...aku memang gila. Coursemate aku semua bising, taknak grad ke budak ni..huhu. airmata usah dikira berapa banyak yang sudah tumpah...

Sekarang, aku sudah dihujung perjalanan, mahu atau tdak aku mesti menamatkan cerita kecintaan ku ini. Masalahnya, aku masih sangat belum puas...huhu...kecintaanku masih membara dan tidak pernah reda.

Kerana itulah aku tidak pernah berani untuk jatuh cinta dan jangan sesekali buat aku jatuh cinta..kerana ku akan lupa segalanya..lupa daratan, lupa lautan, lupa pantai, lupa ikan, lupa hutan, lupa awan, lupa hujan, tapi takkan lupa cintaku..

dan aku tidak pernah berputus asa selagi cintaku ada...kerana itu aku sangat pantang pada orang yang mudah menyerah kalah sebelum berjuang..fight oh!

Sekarang ni dalam kesibukan yang tak dapat dielakkan. Jadi, ruang ni terpaksa dihiasi dengan sawang dan apa sahaja yang menandakan ia tidak dikemaskini. Sedang cuba mencuri masa untuk membersihkan sawang-sawang tersebut.

Huhu..saya tidak suka memberikan jawapan 'sibuk' bila ditanya. Tapi kali ini saya tidak boleh lagi mengelak. Ada beberapa urusan penting yang perlu dilaksanakan segera.

Oh ya. Mohon maaf kepada seorang teman yang memohon pertolongan. Langsung tidak berdaya memberikan pertolongan kali ini. Ada kekangan yang menghalang. Apa=apa pun, saya tahu awak boleh lakukan, awak juga sudah biasa berjuang. Cuma satu yang ingin saya ingatkan...dalam perjuangan aku tidak takutkan kekuatan pihak lawan, tapi aku takut pada timbunan dosa-dosa yang menghalang datangnya pertolongan dari Tuhan..semoga berjaya ya!

ada banyak yang hendak saya sampaikan, tunggu ada kesempatan...

salam

Esok ada test dan final presentation. Dalam sedikit senggang waktu rehat, sempat aku meneroka entri teman-teman yang terpapar diruang maya...

Pelbagai cerita dan alunan suara hati yang sedang kesakitan.
Ada yang sedang resah mencari makna cinta
Ada yang sedang derita hidup dalam sepi
ada yang menangis rasa dipergunakan
ada yang rasa kosong kehilangan
ada yang mencari tujuan sebuah kehidupan
ada yang merasa tiada apa-apa dalam kehidupan melainkan rutin kebiasaan yang berulang dan terus berulang.

Kehidupan memang akan terus begitu jika kita tidak membezakannya dengan robot yang telah diprogramkan. Bangun dari tidur dan siap sedia melakukan apa yang dilakukan semalam. Tapi, kita ini manusia, punya hati punya jiwa yang membezakan kita dengan makhluk lain. Hati itulah raja yang menerbitkan 'mahu' dari akal yang 'tahu' atau 'tidak tahu'.

Apa sahaja disaster yang berlaku dalam kehidupan kambalilah melihat pada hati, di situ ada jawapan. Keserabutan ini kerana kita gagal menggunakan hati.

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memliliki HATI tapi tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah)dan mereka memilik mata (tapi) tidak menggunakan untuk melihat (kebesaran Allah) , dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak menggunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, malah lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah." 7:179

" Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tapi yang buta adalah hati yang ada dalam dada" 22:46

Jadi ketika hati sedang tenat menentang arus dunia, dimana hendak mencari penawarnya..
"Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu palajaran (al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman." 10:57

selalunya, ketika kita sedang menanggung perit dan kesaktian jiwa, kita enggan mendengar nasihat dan teguran typical dari teman lain. mungkin kerana sudah muak atau kita sendiri boleh melafazkan ayat yang sama
jadi, sesekali, cubalah belek penawar yang telah diciptakan oleh Tuhan yang Esa, kerana sakit itu takdir yang Dia kirimkan buatmu, penawarnya juga Dia tidak lupa untuk titipkan bersama...

bangkitlah semula...FIGHT OH!