-saya ada kerisauan yang mencengkam-
-saya ada irama yang hendak ditarikan-
-saya ada kata-kata yang hendak dilafazkan-
-saya ada rindu yang tertahan-
-saya ada resah yang rencam-
-saya ada sayang yang tersimpan-
-saya ada kepercayaan ingin dikhabarkan-
-saya ada penantian yang panjang-
tapi saya tidak dapat melakukan apa-apa melainkan hanya menunggu dan mengharapkan keteguhan sekeping hati yang berjuang
Saya seperti sangat mahu pulang dan tidak mahu lagi datang. Saya ingin sekali pergi, tanpa mahu lagi kembali. Kerana saya amat kecewa ruang kedua yang dipersia...
Kita saling dipertemukan oleh asbab yang sama. Tidak pernah kita menyangka akan terlontar ke dalam kemelut yang serupa. Hingga akhirnya kita terpaksa mangaku dewasa dan menerima kehendak dan tuntutan hidup yang meminta.
Kita juga punya matlamat yang seia. Mahu memperbaiki hidup menjadi insan mulia. Kita mencari teman yang boleh disandarkan. Tapi sayang kitaran itu hanya antara kita. Kita tidak bisa melepaskan kerana kita amat memerlukan, dan kita tidak mampu melepaskan kerana kita diperlukan.
Betapa kita terpaksa akur bahawa kita tidak pernah meminta ini semua. Tetapi siapalah kita untuk menolak ketentuan takdir yang telah terlakar sejak sekian lama. Kita hanya manusia yang daif dan kerdil selaku hamba. Hari ini kita tegar berkata, esok kita tidak tahu bagaimana…
Telah banyak air mata kita tumpah kerana kudrat kita lemah. Sudah banyak kali kita lepas berserah kerana hanya mampu untuk pasrah. Jalan keluarnya tetap belum kita jumpa. Jawapannya masih lagi belum nyata. Dan kita hanya mencuba untuk terus bertahan, teguh pada apa yang kita percayakan.
Teman, percayalah bahawa Tuhan sedang menguji kita. Kita sedang diajar tantang sabar dan tentang redha. Tuhan ingin kita mencari apa sebenarnya makna Cinta. Tuhan ingin kita tahu bahawa dunia ini bukan kita yang punya. Tuhan mahu kita sedar bahawa syurga itu terlalu mahal harganya. Dan Tuhan turunkan resah dan derita ini, kerana Tuhan sayangkan kita dan mahukan kita mendapat segala yang terbaik dalam hidup.
Pesanan buat kita yang aku terima digerbang Ramadhan mulia… “za..pertemuan hati adam dan hawa akan berlaku sekiranya masing2 mencintai Tuhan. Kalau salah seorang daripadanya tersimpang, maka secara automatiknya dia akan tersingkir dengan sendirinya” pesanan yang menenangkan.
Jadikanlah Ramadhan ini, madrasah untuk kita meneliti. Apakah benar kita hidup untuk Tuhan atau sekadar mendambakan insan…Nauzubillahhiminzalik..
Selalu menarik akal pada kenangan
Menangislah hati menyesali
Kisah lampau yang tak
Kini masa sudah tiba
Memetik buah janji yang disemai dulu
Tapi pohonnya sudah tiada, sudah tiada.
Ketika bintang datang membawa senyuman
Bintang bisikkan pada awan,
Nun dibumi, ada pungguk rindukan bulan
Saat bintang makin indah dipandangan
Dan purnama senyum dengan harapan
Awan pula datang mencurahkan hujan
Bersama ribut dan taufan
Membasahkan aku yang ingin pulang
Selamatkan aku
Dari malam yang kelam
Tanpa bintang, tanpa bulan
Selamatkan aku dari menggigil kesejukan
Dalam hujan ribut taufan
Selamatkan aku dari menoleh kebelakang
Menggali kubur kelukaan
Selamatkan aku
Agar terus kental dalam perjuangan
Selamatkan aku
Dari kemurkaan Tuhan
Selamatkan aku dari hidup menduga iman
Selamatkan aku, selamatkan aku
Agar boleh ku carikan cinta untukmu
1. Entah apa yang mendorong aku tekad merendahkan sedikit benteng hati untuk mencari jawapan yang pasti. Tinggalkan dulu sebentar rasa ego yang selalu menjadi pagar untuk mencari jawapan sebenar. Membuka sedikit ruang memberi sedikit peluang. Mana tahu, apa yang selama ini tidak nampak akan jadi terang. Malangnya, ia tidak membuahkan apa-apa. Rasa halus yang baru menyelinap masuk ke dalam hati, perlu segera dikuburkan semula, kerana aku tiada erti dan tidak memberi erti. Ku hanya punyai sekeping hati yang telah mencintai. Belum lagi bermula, noktahnya sudah ku jumpa..haha.
2. Tewas di debat merdeka, pastilah ada rasa kecewa. Dua tahun sebelum ini, berjaya ke peringkat suku, tahun ini tersangkut di kedudukan sembilan. Kalah juri. Keputusan ini walau pun mengecewakan abang dan papa, tapi ia masih memberi sedikit rasa suka, pada mereka yang berharap dan berdoa agar tidak aku ke puncak jaya. Haha. Bilakah kematangan akan mendasari hidup kita? Mengapakah dengki dan emosi menghitamkan mata hati? Aku tidak betah menyimpannya dijiwa, aku bisa melepaskan dan memaafkan malah sanggup aku melupakan. Malas untuk membazir ruang dihati untuk perkara remeh sedemikian rupa.
3. Bila aku pejamkan mata, terasa hatiku sangat keletihan. Ia perlu dihantar segera ke pusat rawatan dek kerana kekurangan ferum iman. Ramadhan juga semakin dekat, semoga sempat ia menghantarkan ubat. Kalau tidak kerana takut pada timbunan dosa, takut pada amal yang belum sempurna, takut pada amanah yang masih belum terlaksana, mahu sahaja aku memohon direhatkan dalam lena yang tiada jaga.
Motifnya aku mahu bahagia
Mangkin untuk berjuang dan mempertahankan
Tekanan maksimum
Mangkin untuk keruntuhan maksimum!
Fight Oh??
haha..fight oh
Hidup ini tentang pilihan. Seluruh ilmu dan pengalaman yang kita kutip sebenarnya untuk membuat pilihan bagi meneruskan langkah berikutnya. Pilihan selalu ada. Sentiasa gandingan putih dan hitamnya. Cuma tepat atau tidak kita memilih pilihan yang terjentang di depan mata.
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan yang salah dan jalan yang benar. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” As-Syam (8-10)
Membuat pilihan tidak semudah mencongak dua campur dua. Tidak semudah membaling dadu di atas meja. Lebih-lebih lagi jika pilihan itu tidak selari antara pilihan akal atau pilihan hati. Atau pilihan itu bukan sekadar antara hitam dan putih tetapi laksana tujuh warna pelangi. Lebih parah apabila pilihan yang ada bisa membuat orang lain terluka atau diri sendiri merana.
Aku tidak suka berdiri dipersimpangan. Aku tidak gemar mencongak pilihan. Aku mahu selalu jelas pada apa yang aku mahukan. Namun ketika dihadapkan dengan pilihan, izinkanlah aku mengikut kata hati, mendengar rasional akal, mengutamakan siapa yang tidak boleh dilukakan. Biarpun pilihan itu sakit untuk ditelan…
Aku juga sedang cuba menukarkan segala yang aku ada menjadi sebuah kenikmatan. Pernah air mata ku jatuh tidak tertahan hanya kerana dikatakan bukan gadis rupawan, dibandingkan betapa jauh aku dari indahnya rembulan. Kelakar! Menangis kerana tidak dikatakan cantik. Sedangkan yang berkata bukan mengutuk, sekadar meluah apa yang benar. Namun aku bersihkan akal, agar aku tidak lupa bahawa Tuhanku telah memberi kurnia beranggota sempurna, tiada cacat celanya. Bukan suatu kesalahan menjadi seorang gadis tidak cantik. Ia juga sebuah kenikmatan dari yang Esa. Hasilnya, katakanlah apa sahaja tentang aku, aku sudah terlalu biasa mendengarnya. Kerana aku hanya mahu bahagia!
Berbahagialah dengan menikmati kehidupan. Bangkitlah dari belenggu diri sendiri yang selalu menghalang kita untuk mengecapi bahagia. Hidup ini ada pasang surutnya. Dirikan kehidupan dengan sebuah pegangan, kutiplah segala bahagia yang telah dikirimkan Tuhan dan bersedialah untuk kembali dalam kepuasan.
Oh ya…pesanan dari yAyA. Kalau mahu melihat tuannya berpakaian warna sepadan, bolehlah datang pada salah satu hari yang kalian mahukan. Sama ada dihari tuannya dalam baju persandingan atau ketika tuannya dalam bungkusan kain kafan. Selain dari hari-hari itu, tuannya hanya berbaju setakat mampu. Peace.
p/s: saje memenuhi permintaan abg am yg mmg ske mencapap. this entry untuk one of my beloved junior, izah.
Perancangan hidup perlu diteliti semula. Ada janji yang mesti ditunaikan. Ada amanah yang perlu dilangsaikan. Ada beban perlu dilunaskan. Ada impian dan cita-cita yang perlu dikejar dan pasti ada cinta yang perlu dikorbankan seadanya.
Prinsip hidup perlu ditegakkan. Bukan dengan emosi ‘keinginan’ atau ‘keegoan’. Tegak atas landasan iman. Berdiri menepati fitrah penciptaan insan. Kalau tidak hidup ini akan seperti lalang. Ditiup angin ke kiri ke kanan, ketika angin kencang rebahlah lalang, kecundang!
Prinsip dan matlamat hidup akan membentuk siapa kamu. Kutiplah seberapa banyak nikmat dunia tanpa lupa nikmat-nikmat itu akan ditinggalkan juga akhirnya. Jangan sesekali lupa ketika jasad dan roh terpisah, semoga ada bekal yang boleh dibawa. Jasad ini akan dimakan ulat dalam liang lahad, maka usah terlalu gusar dengan kehodohannya. Sedang roh akan menempuh perjalanan yang maha panjang, persiapkanlah teman buatnya. Inilah yang sepatutnya mendasari prinsip kehidupan. Kemudian, cantikkanlah ia dengan apa jua pegangan seperti mana kamu mahu dikenali. Sama ada gadis pendek dalam bendera brazil atau pemuda tampan dengan sut sepadan, tiada salahnya...
Namun harus diingat juga, bahawa prinsip dan pegangan yang kita bawa tidak akan disukai semua manusia. Akan ada ketikanya, kita dikagumi kerana kerasnya hati mempertahankan kepercayaan, sedang dalam masa yang sama ada juga yang memperlekehkan kononnya kepercayaan itu sudah lapuk ditinggal zaman. Ini dilemma namanya, jangan mudah mengalah, sebaliknya lakukan muhasabah. Selagi prinsip dan kepercayaan itu betul pada jalan Allah dan tepat mengikuti sunnah, percayalah bahawa ejek dan lekeh itu adalah dari bisikan syaitan yang nyata. Jadi, tetapkan siapa kamu dalam novel hidupmu dan bantulah aku menetapkan siapa aku dalam perjalanan matiku.
Kita sama-sama manusia. Tidak pernah lari dari sifat manusia. Sentiasa kita lakukan kesalahan, sentiasa juga kita ingin dimaafkan. Selalu kita membuat perangai menyakiti hati, selalu juga kita berharap agar disayangi. Sering kita merindui, kerap juga kita punya rasa benci. Cuma yang membezakan kita, begaimana bereaksi, mengawal diri, melembutkan hati dan memimpin emosi.
Terlalu banyak lagi yang ingin ditarikan oleh jemari ini. Mengikut melodi dari hati yang sedang menikmati sunyi. Masih ada yang ingin dikongsi. Masih ada yang mahu diteliti, bukan tentang orang lain, tapi tentang diri sendiri.
Cukuplah kali ini..izinkan aku menyayangi kalian dari sudut hati yang paling dalam. Sesiapa sahaja kalian yang pernah hadir dalam hidup. Kehadiran kalianlah yng telah membantu aku membina siapa aku. Tidak kiralah yang menyayangi atau yang melukai, yang menbenci atau yang mengasihi, yang membebankan atau yang meringankan, yang menjadikan aku robot beriman atau manusia penuh perasaan, sesiapa sahaja dari kalian yang membaca…salam sayang dari aku dan yAyA..
p/s: memang entri tidak ada kaitan dengan abg tra, saje letak name die sbb die nak...